PEMANDU Red Bull Racing, Max Verstappen menjangkakan satu perlumbaan yang lebih sengit bakal ditampilkan para pesaingnya di Grand Prix Arab Saudi selepas dia mendominasi keseluruhan perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix Bahrain pada Ahad.

Bermula dari petak utama, Verstappen tidak mempunyai masalah untuk menjarakkan diri dari pencabar utama, Charles Leclerc dari Ferrari meskipun bermula dengan tayar yang sudah digunakan berbanding pencabar terdekatnya musim lalu.

Dengan Leclerc kemudiannya terpaksa menarik diri daripada perlumbaan ekoran masalah enjin pada jentera Ferrarinya, Verstappen muncul juara dengan kelebihan 11.9 saat di hadapan rakan sepasukan, Sergio Perez manakala Fernando Alonso ketinggalan 26.6 saat.

Verstappen menyambut kemenangannya di podium

Verstappen juga menepis dakwaan pemandu Mercedes, George Russell yang mengatakan Red Bull bakal mendominasi musim ini dengan memenangi kesemua perlumbaan sebaliknya percaya Grand Prix Arab Saudi pada 19 Mac selepas ini akan menjadi lebih hangat dan menarik.

“Saudi mempunyai litar yang berlainan dengan Bahrain. Disana anda akan mempunyai lebih banyak laluan lurus, selekoh pantas dan lebih banyak perlu dilakukan terutama dalam pengurusan tayar. Kami sangat bagus dalam pengurusan tayar di Bahrain tetapi saya jangkakan dari sudut kelajuan, semua pemandu akan lebih rapat di Jeddah,” kata juara dunia dua kali itu.

Jentera RB19 cemerlang di Bahrain kerana mempunyai kuasa tanjakan yang lebih baik di selekoh kelajuan sederhana tetapi di Litar Jalanan Jeddah yang lebih pantas, ianya lebih menepati karektoristik yang ada pada jentera SF-23 milik Ferrari.

Litar Jalanan Jeddah

“Jeddah pastinya akan memberikan cabaran berbeza sekali lagi. Jentera kami dilihat lebih kuat pada kelajuan tinggi tetapi Ferrari lebih pantas di laluan lurus yang banyak terdapat di Litar Jalanan Jeddah.

“Masa akan menentukan kerana sukar untuk ditafsirkan ketika ini dan kita harus tunggu dan lihat dalam sesi latihan bebas pertama pada Jumaat dimanakah kami berada,” tambah Max.

Verstappen memulakan musim mempertahankan kejuaraan dengan cemerlang apabila mudah menjuarai Grand Prix Bahrain dan kini bakal mempersiapkan diri untuk Grand Prix Arab Saudi yang dijadualkan pada 19 Mac 2023.