PELUMBA pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen merasakan kelajuan yang ditunjukkan dirinya dan pasukan ketika sesi latihan bebas Grand Prix Singapura bukanlah penanda sebenar kerana kelewatan akibat pertukaran ‘set-up’.
Verstappen hanya berjaya melengkapkan 28 pusingan dalam dua sesi latihan FP1 dan FP2 di Litar Jalanan Marina Bay, separuh dari jarak keseluruhan perlumbaan apabila pertukaran ‘set up’ mengambil masa yang lebih panjang dari jangkaan.
Namun begitu pelumba Belanda itu tetap berjaya mencatat masa kedua terpantas pada sesi latihan pertama manakala terpaksa berpuas hati di tangga keempat pada sesi latihan kedua, 0.3 saat di belakang pemandu Ferrari, Carlos Sainz.
FP2 CLASSIFICATION @ScuderiaFerrari 1-2 👏#SingaporeGP #F1 pic.twitter.com/FWbp3T0XWX
— Formula 1 (@F1) September 30, 2022
“Saya rasa ianya bermula dengan baik pada FP1 dengan kereta berfungsi dengan baik. Untuk FP2 pula kami cuba melakukan beberapa perkara tetapi ianya mengambil masa yang lebih lama. Kemudian, kami mahu mencuba sesuatu yang lain pula yang juga mengambil masa yang agak lama untuk ditukar.
“Akibatnya kami tidak dapat menguji lebih banyak pusingan dan sebab itu ianya bukanlah mewakili kelajuan sebenar kami pada FP2. Pastinya ada ruang untuk diperbaiki tetapi ianya bukanlah hari yang teruk.
“Di sini apa yang penting adalah anda harus pantas dalam satu pusingan. Kami menganalisa banyak perkara dan kami telah berjaya melakukan ujian yang panjang pada FP1 dan saya tidak rasakan ianya adalah sesuatu yang perlu dirisaukan,” katanya apabila ditanya adakah dia risau dengan kekurangan pusingan pada FP2.
Rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez pula berada di tangga kesembilan ketinggalan satu saat dibelakang turut mengalami masalah kelewatan yang sama dan gagal untuk melakukan satu pusingan yang baik ketika menggunakan tayar yang lebih lembut.
“Kami kehilangan banyak masa di FP2 dan kami mempunyai beberapa isu dengan enjin, cara kereta dipandu dan kami lakukan banyak perubahan pada ‘set up’.
“Banyak informasi yang perlu disemak malam ini dan kami akan atasinya sebelum sesi esok dan seperti biasa kami akan lakukan yang terbaik dengan apa yang kami ada.
“Kami tahu Mercedes akan kuat di sini dan Ferrari juga kelihatan amat kuat. Oleh itu kita akan lihat apa yang terjadi esok,” katanya apabila ditanya tentang kelajuan pesaing untuk GP Singapura.
Max Verstappen mampu muncul juara dunia buat kali kedua berturut-turut jika berjaya memenangi perlumbaan dengan pencabar terdekat, Charles Leclerc kesembilan atau tersingkir dari perlumbaan Grand Prix Singapura hujung minggu ini.