PELUMBA pasukan Red Bull Racing, Max Verstappen gembira dengan kemenangan sulungnya di Grand Prix Australia namun mempunyai sedikit isu dengan Lewis Hamilton yang memintasnya di selekoh ketiga pada pusingan pertama.
Verstappen yang bermula di petak pertama selepas cemerlang dalam sesi kelayakan pada Sabtu menyaksikan dia dipintas oleh kedua-dua pelumba Mercedes pada permulaan perlumbaan dengan George Russell mendahului manakala Hamilton mengekori rapat di tempat kedua.
Ini membuatkan pelumba Belanda itu menyatakan rasa tidak berpuas hati menerusi radio mendakwa dia di tolak keluar dari litar ketika memintas namun berjaya merampas semula kedudukan pendahulu selepas itu.
Super Max reigns supreme 🦸♂️
That race will be talked about for a long time to come 😮#AusGP #F1 pic.twitter.com/jUgrHm3icY
— F1 Australian Grand Prix (@ausgrandprix) April 2, 2023
“Saya cuba mengelak untuk tidak menyebabkan pelanggaran dan ianya jelas di dalam peraturan apa yang boleh dilakukan apabila berada di bahagian luar tetapi jelas, ianya tidak diikuti. Tetapi semuanya baik dan kami mempunyai kelajuan yang baik dan dapat mendahului semula namun ianya sesuatu yang perlu diperhatikan untuk perlumbaan selepas ini.
“Kami bermula dengan kurang baik dan pada pusingan pertama saya sangat berhati-hati kerana saya mungkin kehilangan segalanya dan mereka yang lain pula mempunyai kelebihan,” katanya selepas perlumbaan.
Juara dunia dua kali itu kembali di hadapan selepas memintas Hamilton di selekoh kesembilan sementara Russell pula terkeluar dengan masalah enjin dalam perlumbaan dramatik yang menyaksikan tiga bendera merah dan beberapa pelumba yang berlanggar hingga perlumbaan terpaksa ditamatkan di belakang kereta keselamatan.
“Saya rasa kereta sangat laju dan dapat dilihat yang kami sentiasa bersedia untuk membuka sistem DRS apabila mendapat peluang memintas. Namun perlumbaan ini sukar difahami dengan dua bendera merah yang kadangkala sukar untuk dijelaskan.
“Ianya sangat kelam kabut tetapi kami berjaya melaluinya dan akhirnya berjaya memenangi perlumbaan ini yang mana ianya yang paling utama,” tambahnya.
Dia juga berpuas hati kerana berjaya memecah badi kemenangan di Litar Albert Park ini dan juga berjaya memberikan kemenangan pertama buat Red Bull di Australia sejak 2011.
“Ianya sangat hebat untuk menang di sini yang juga kemenangan pertama saya. Ianya juga kemenangan yang lama tidak dikecapi oleh pasukan dan saya sangat gembira buat pasukan dan juga semua penonton yang hadir ke litar hari ini,” jelasnya.
Red Bull mempunyai hari yang baik di Melbourne apabila seorang lagi pelumba, Sergio Perez berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima walaupun bermula dari hentian pit.
Kemenangan itu meletakkan Verstappen 15 mata di hadapan Perez dalam senarai kedudukan pemandu manakala Red Bull mengukuhkan cengkaman di tangga teratas kategori pengeluar selepas berakhir tiga perlumbaan musim 2023.