KERAJAAN Negeri Victoria di Australia mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ekoran peningkatan kos penganjuran yang hampir tiga kali ganda dari kos asal.

Ketua Menterinya, Daniel Andrews berkata penarikan diri tidak dapat dielakkan selepas beberapa masalah tidak dapat diatasi termasuk isu venue dan kewangan yang dianggap terlalu mahal untuk diteruskan.

Temasya empat tahun sekali itu yang sepatutnya diadakan di empat hab sekitar Victoria menyaksikan peningkatan kos kepada $6 bilion dollar Australia daripada anggaran $2 billion dollar Australia sebelum ini jika ia diteruskan.

“Sejujurnya $6-7 billion dolar Australia adalah terlalu tinggi untuk acara sukan 12 hari, kami tidak mampu melakukannya. Saya tidak akan mengeluarkan wang dari hospital dan sekolah untuk membiayai acara yang tiga kali ganda kos seperti yang dianggarkan,” katanya pada sidang media.

Andrews juga berkata pihaknya sudah memaklumkan penarikan diri itu kepada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) namun masih belum mengetahui saman yang perlu dibayar kerana menamatkan kontrak penganjuran itu.

CGF dan badan induk Sukan Komanwel Australia masih belum memberi maklum balas mengenai tindakan Victoria itu, ketika temasya empat tahun sekali lagi itu hanya berbaki tiga tahun lagi untuk dianjurkan.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews

Temasya itu akan diadakan di empat ‘hab’ merentasi bandar Geelong, Ballarat, Bendigo dan Gippsland, masing-masing dengan perkampungan atlet yang berasingan.

Sebagai rekod, ini adalah kali keenam Australia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan kedua di Victoria, selepas 2006 yang berpusat di Melbourne dengan kali terakhir Australia menganjurkan Sukan Komanwel adalah pada 2018 di Gold Coast.