HASRAT kontinjen negara menambah pingat emas tidak tercapai, apabila trio kata wanita, meraih pingat perak, tewas kepada pasukan naib juara Kejohanan Karate Asia, Vietnam.
Gandingan Lovelly Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie, tidak mampu menandingi kehebatan Vietnam, apabila pasukan lawan meraih 42.7 mata berbanding karateka negara, 39.0 mata.
Vietnam yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja, mempamerkan aksi kemas dan mempersembah rutin yang berjaya memikat juri.
Ini adalah pingat perak kedua dari kem karate, menjadikan atlet kata negara cemerlang, membawa pulang kedua-dua pingat dalam dua acara yang mereka sertai.
“Saya sangat gembira kerana dapat pingat dalam acara individu dan berpasukan.
“Apa yang kami persembahkan hari ini, kami buktikan yang kami mampu dan boleh meskipun hanya menjalani latihan bersama-sama, tahun lalu,” kata Lovelly.
Sementara itu, Niathalia berkongsi detik sebelum menaiki tatami, “Saya gementar dan risau takut persembahan terganggu, tapi akhirnya kami berjaya buktikan pada usia 19 tahun, kami mampu membawa pulang pingat buat negara di Sukan Asia.”
Trio negara menampilkan rutin berbeza dan unik, tidak seperti dipersembah apda Sukan Sea Kemboja (April) dan Kejohanan Karate Asia (Julai).
Keunikan itu membolehkan mereka mengatasi Brunei pada pusingan awal.
“Kami persembahkan teknik yang sama sebagaimana kami lakukan ketika latihan, malah persembahan kami jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“Persembahan kami juga lain dari negara lain dan berbeza dengan Vietnam, saya berpuas hati,” kata Naccy.
Temasya Hangzhou menjadi yang pertama mempertandingkan acara berpasukan kata, kerana acara itu tidak ditawarkan pada temasya sebelum ini.