TATKALA atlet-atlet muda negara masih bergelut mempamerkan prestasi terbaik mereka tetapi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pula lain ceritanya.

Nyata kekal dalam kelas tersendiri, pelumba yang berusia 35 tahun dari Terengganu itu telah berjaya mengutip pingat emas keduanya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan mengungguli acara keirin lelaki di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Penulis yakin mentaliti raksasa Azizulhasni yang juga memenangi emas acara pecut individu lelaki pada Jumaat lalu, antara resepi mengapa pelumba kebanggaan negara ini kekal konsisten apatah lagi mengutip pingat emasnya yang ke-12 menerusi acara kegemarannya, Keirin.

Dalam aksi itu, The Pocket Rocketman telah menamatkan saingan selaku pelumba terpantas dengan catatan masa 10.005 saat bagi mengatasi pelumba Jepun, Shinji Nakano, di tempat kedua dengan perbezaan 0.097 saat.

Sementara pujian juga harus diberikan kepada seorang lagi pelumba negara iaitu Shah Firdaus Sahrom yang berjaya memenangi pingat gangsa.

Tidak berhajat untuk meletakkan tekanan khususnya kepada Azizulhasni tetapi pencapaian beliau sekurang-kurangnya meredakan peminat-peminat menjelang aksi Sukan Olimpik 2024 Paris nanti.

Dengan persiapan yang sedia ada, penulis melihat perjuangan kita dalam menamatkan penantian untuk menyaksikan atlet negara mendapatkan pingat emas Sukan Olimpik julung kalinya.

Pada pandangan penulis, sudah tiba masanya kita memiliki impian besar tetapi ia harus serentak dengan usaha kita dalam memastikan cita-cita pingat emas Sukan Olimpik menjadi realistik dan bukannya sekadar ‘bombastic’ semata-mata.

Sejujurnya, sepanjang pengalaman penulis membuat liputan sukan, sudah pasti momen berharga buat negara penulis tidak mahu ketinggalan berada dalam lipatan sejarah apatah lagi kejayaan memenangi pingat emas Sukan Olimpik.

Secara peribadi, penulis melihat Azizulhasni memiliki peluang untuk merealisasikan hasrat penulis sebelum penulis bersara daripada arena penulisan sukan negara.

Justeru, penulis berharap atlet-atlet yang berada dalam program prospek pingat emas Sukan Olimpik dapat mempelajari sesuatu daripada kejayaan Azizulhasni pada hari ini di mana umur itu sekadar angka sahaja.

Paling mustahak atlet kita harus menanam semangat kenegaraan tinggi selain semangat patah menyerah kalah sentiasa tersemat dalam hati kita.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Jika boleh kita tidak mahu bersandarkan potensi pingat emas Sukan Olimpik itu kepada Azizulhasni sahaja sebaliknya penulis amat berharap mungkin di bumi Perancis nanti akan ada lebihan pingat emas buat Malaysia.

Siapa tahu selain sukan basikal tetapi badminton turut meraih pencapaian cemerlang akan datang?

Mungkin jaguh badminton negara, Lee Zii Jia boleh bertanyakan resepi mentaliti raksasa Azizulhasni dalam misi kita untuk mencapai dua pingat emas Sukan Olimpik akan datang?

Apapun tak salah penulis nak berangan kan?

Demi lencana di dada!