TIGA hari terakhir termasuk hari ini… Mana lagi nak ‘sebat’ pingat emas?
Tanda tanya di manakah dapat dicari 12 lagi pingat emas untuk menggenapkan 40 sasaran yang ditetapkan pada temasya Sukan SEA ke-32 kali ini semakin membimbangkan.
Tarikh 16 Mei adalah hari terakhir pertandingan dan sehari selepas itu hanya upacara penutup akan berlangsung.
Susah juga hendak membuat congakan, tambahan pula Majlis Plimpik Malaysia (MOM) tidak pernah mengumumkan secara terperinci acara sukan apakah sasaran 40 pingat emas itu diletakkan.
Berdasarkan kepada situasi terkini hanya tinggal beberapa acara sahaja lagi yang boleh dikatakan mampu memberi ‘beri nyawa’ kepada kontinjen negara untuk memungut pingat.
Antara sukan yang masih dipertandingkan adalah badminton individu sekurang-kurangnya 5 emas di tawarkan, hoki (2), taekwondo, kriket, bola keranjang, sepak takraw, catur xianqi, fin swimming, petanque, lawan pedang, pingpong, kickboxing, taekwondo, e-Sukan, jetski, billiard, floorball, judo, perlumbaan bot tradisional, lawan pedang, polo air dan angkat berat.
Berdasarkan rekod pencapaian sukan yang masih dipertandingkan, kontinjen negara agak sukar untuk memperoleh sekurang-kurangnya 10 emas memandangkan acara itu bukanlah makanan Malaysia.
Walaupun sudah melepas angka separuh pingat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, beberapa acara lubuk emas kontinjen negara seperti olahraga, renang, terjun, silat dan karate sudah pun berakhir.
Situasi tersebut sekali gus memberi bayangan kemungkinan besar kita bukan sahaja gagal menepati sasaran pungutan pingat malah akan menamatkan saingan di bawah kontinjen Singapura buat kali kedua berturut-turut di temasya Sukan Sea, selepas edisi 2021 di Vietnam tahun lalu.
Ketua kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-32 negara, Datuk Mohd Nasir Ali mengakui pasukan negara mengharungi situasi sukar ketika ini walaupun sudah mencapai sasaran awal melepasi angkat 20 pingat emas.
Beliau berkata, ketika ini hanya mengharapkan beberapa sukan mampu membuat kejutan dengan menambah senarai pungutan pingat emas negara ketika saingan Sukan Sea Kemboja berbaki empat hari saja lagi.
“Kita perlu mencari sekurang-kurangnya 12 emas untuk mencapai sasaran dan ketika ini kontinjen negara sudah di tengah jalan dan boleh dikatakan masih lagi jauh untuk mengharungi saingan di Sukan SEA ini.
Secara peribadi, saya akui banyak sasaran kita sudah terlepas dengan beberapa acara tidak menepati jangkaan.
“Apa yang pasti, saya kekal positif kerana ada beberapa kejutan yang sudah ditampilkan oleh kontinjen Malaysia kali ini dan mereka ‘topup’ (ganti) pingat emas yang hilang sebelum ini.
“Seperti yang kita maklumkan sebelum berlepas, negara sudah kehilangan 18 pingat emas untuk dipertahankan selepas acara edisi 2021 di Vietnam tidak dipertandingkan. Masih ada berbaki beberapa hari lagi saya percaya apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Mengikut rekod, pada temasya di Hanoi, Malaysia mengakhiri saingan di tempat keenam menerusi 39 emas 45 perak dan 90 gangsa iaitu jauh ketinggalan di belakang Singapura yang membawa pulang 47 emas 46 perak dan 71 gangsa.