JAGUH larian Menara dunia, Soh Wai Ching terus mengharumkan nama negara apabila memenangi gelaran di Empire State Building, New York City, dalam perlumbaan memanjat tangga Menara terbabit, Khamis lalu.
Wai Ching, yang ditaja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menamatkan perlumbaan dengan masa 10 minit 44 saat.
Kejayaannya itu bagaimanapun gagal mengatasi rekod lama lapangan, milik Paul Crake dari Australia, 9 minit 33 saat, di lapangan membabitkan 1,576 anak tangga bangunan 86 tingkat itu.
Pada perlumbaan itu, Wai Ching mengatasi pelari Jepun Ryoji Watanabe yang mencatat masa 10 minit 57 saat, Fabio Ruga (Itali) 11 minit 19 saat, George Heimann (Jerman) 11 minit 40 saat dan Omar Bekkali (Belanda) 12 minit 03 saat.
Wai Ching turut diisytihar sebagai juara keseluruhan pada perlumbaan edisi ke-44 itu selepas memenangi perlumbaan hari sebelumnya (6 Oktober).
“Saya pasti akan kembali ke sini tahun hadapan dengan sasaran utama mengatasi rekod lapangan milik Paul Crake 9 minit 33 saat. Masa itu yang mahu saya pecahkan dan saya mahu cabar diri saya, cabar had diri saya untuk menjadi lebih pantas dalam mendaki anak tangga,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Hasil kemenangan, Wai Ching menerima tiket penerbangan Kelas Perniagaan pergi balik menggunakan perkhidmatan Turkish Airlines.
Wai Ching akan terus berada di Amerika Syarikat (AS), menyertai satu lagi kejohanan Air Tampa di Tampa City Centre.