ANUGERAH bermakna buat Nur Humaira Abdul Karim apabila sekali lagi dinobat sebagai Olahrawati Universiti Malaya (UM) pada Majlis Anugerah Sukan UM (ASUM) yang berlangsung di Kompleks Perdana Siswa, UM.
Majlis yang berlangsung pada Rabu itu telah memilih atlet taekwondo berusia 22 tahun itu untuk mengekalkan gelaran Olahragawati buat kali kedua berturut-turut selepas berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara poomsae individu wanita.
Bagi Humaira, kemenangan pada malam Rabu itu benar-benar tidak dijangka tambahan terdapat beberapa lagi atlet yang dianggap lebih cemerlang daripadanya.
“Saya tidak menjangka kemenangan ini kerana saya lihat kebanyakkan pelajar sudah berjaya mewakili universiti dan peringkat selanjutnya, serta ini merupakan tahun ketiga saya menuntut di Universiti Malaya.
“Ini merupakan gelaran Olahragawati kali kedua yang sudah saya terima dari pihak UM, sebelum ini tahun 2021 & 2022 (gabungan dua tahun),” ujarnya selepas tamat Majlis Asum.
Sementara itu, atlet muda dari sukan olahraga iaitu Wan Muhammad Fazri Wan Zahari pula telah menerima gelaran Olahragawan buat kali pertama selepas memerah keringat di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.
Walaupun temasya itu merupakan penampilan pertamanya, namun dia berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga dalam acara 800 meter dengan catatan masa 1 minit 53.86 saat.