BIARPUN baru beberapa hari berada dalam bulan Ramadan, namun persiapan untuk menyambut Syawal itu sudah mula terasa atlet-atlet kebangsaan dengan hidangan lauk pauk yang pastinya dinantikan tatkala takbir bergema.
Bagi pesilat wanita negara, Siti Shazwana Ajak tampil berkongsi sedikit sebanyak makanan kegemarannya ketika menyambut hari lebaran pada setiap tahun.
Selain menu wajib seperti soto dan rendang, Wana turut menyukai kuih muih beraneka sebagai hidangan di pagi raya.
“Makanan kegemaran Soto, macam bukan makanan raya sahaja betul tidak? Sebenarnya, Wana suka makan lemang, pulut hitam, ayam rendang dan daging Satay.
“Selepas itu, Wana suka kuih raya yang beraneka. Tetapi tidak boleh hendak makan betul-betul untuk raya tahun ini, makan mesti kawal. Lepas Sukan SEA baru Wana akan makan semula,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Pun begitu, tidak semua orang yang berkesempatan menyambut raya bersama keluarga,dan ianya turut dirasai ‘Wana’ yang setakat ini masih belum berpeluang menyambut perayaan bersama keluarga tercinta kerana pengorbanannya demi negara.
“Paling sedih sebenarnya, macam biasa masih tidak dapat balik raya bersama dengan keluarga untuk tahun ini, selepas habis Sukan SEA nanti baru boleh balik ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, atlet berusia 31 tahun itu mengisi masa yang terluang pada bulan Ramadan dengan memperbanyakkan zikir dan selawat serta ingin khatam Al-Quran.
Manakala, pada Syawal pertama, Wana akan menyibukkan dirinya dengan masakan di dapur serta mengemas dan menghias rumah.
“Masa puasa macam biasa misi Wana hendak khatam Al-Quran, selepas itu perbanyakkan zikir dan juga selawat.
“Masa raya selalunya Wana orang yang sibuk di dapur, mengemas dan hias rumah memang menjadi rutin. Semasa raya juga saya suka untuk mencuba pelbagai jenis kuih,” jelasnya.
Menjelang Sukan SEA 2023 di Kemboja, Wana menjelaskan latihan tetap berjalan seperti biasa dengan hanya berlaku beberapa perubahan dari segi waktu sesi latihan tersebut dijalankan.
Sebagai persiapan terakhir, Wana memiliki peluang menajamkan lagi gerak langkah silatnya apabila bakal menjalani kem latihan dan perlawanan persahabatan di Bandung, Indonesia bermula 3 hingga 16 April ini.
“Persiapan untuk ke Sukan SEA sepanjang bulan Ramadan ini bermula dengan latihan seperti biasa, hanya masa latihan ada perubahan sedikit tetapi sesi latihan kekal. Setakat ini, alhamdulillah masih boleh serasi dengan latihan walaupun berpuasa.
“Persiapan sekarang ini berada di tahap 70 peratus. Sebelum ke Sukan SEA pasukan silat akan mengadakan latihan di Bandung. Di sana nanti akan ada perlawanan persahabatan yang mana Wana boleh jadikan panduan untuk ke Sukan SEA kali ini,” tegasnya.
Untuk rekod, antara kejuaraan yang berjaya dirangkul pesilat tersebut adalah berjaya menggenggam emas pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, emas Sukan SEA 2021 Hanoi dan terkini emas Kejuaraan Dunia Silat Premier Sarawak 2023.