KEMARAHAN penyokong setia Sang Kenari yang berang dengan kualiti siaran langsung dibawakan oleh unit media Kedah Darul Aman (KDA) FC semasa aksi pramusim di Turkiye segera mendapat perhatian pemilik majoriti kelab.
Ujar Tan Sri Dr, Mohd Daud Bakar, pihaknya tampil memohon maaf apa yang berlaku sehingga menyulitkan ‘hajat’ penyokong Kedah untuk menikmati yang ditayangkan secara langsung menerusi halaman Facebook TURKIYE TOUR: KDA FC vs NASAF FC.
Para penyokong perlu membayar sebanyak RM16.90 secara dalam talian untuk mengakses perlawanan berkenaan.
“Tentang siaran yang tidak memuaskan, pihak kami memohon kemaafan. Pihak media KDA FC telah membuat notis pengumuman kepada mereka yang telah melanggan melalui KDATV.
“Mereka juga akan membuat notis pengumuman kepada semua penyokong tentang apa yang telah berlaku.
“Mereka juga perlu belajar dari kelemahan dan kegelinciran teknologi. Masing-masing ingin membuat yang terbaik.
“Terima kasih kepada semua yang sama-sama menonton. Saya pun tidak dapat saluran KDA TV. Terpaka melanggan PPV,” jelas Mohd Daud.
Sementara itu, Sang Kenari memulakan siri jelajah pramusim dengan satu kekalahan yang mahal apabila tewas 1-2 kepada kelab Uzbekistan, FC Nasaf pada Khamis malam.
“Takpa…wahai Sang Kenari. Belajar dari kesilapan, kekurangan dan mungkin juga ketidakyakinan diri.
“Inilah pentas untuk menguji semua yang anda ada atau pun tidak ada. Ada ruang untuk penambahbaikan. Sang Kenari mula ingin terbang tinggi,” katanya.
Aksi berikutnya diharungi anak buah Nafuzi Zain dengan bertemu FC Shakter Karagandy di Miracles Fields, jam 5.30 petang waktu Turkiye.