ATLET angkat berat wanita negara, Nur Syazwani Radzi mengakhiri penantian pingat pertama sukan itu di temasya Sukan Sea Kemboja 2023, dengan kilauan gangsa.

Hadiah pingat gangsa buat Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) itu dihadiahkan Nur Syazwani, 20, menerusi kategori 64 kilogram (kg) wanita.

Biarpun gangsa, atlet dari Kedah itu sudah menyelamatkan maruah PABM di temasya kali ini yang sehingga semalam, gagal membutir pingat selepas persatuan itu meletakkan sasaran satu gangsa di temasya kali ini.

Berlangsung di Dewan Olimpik Phnom Penh, hanya empat peserta bertanding dalam acara akhir 64kg wanita.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat bersama pemenang pingat gangsa angkat berat 64kg wanita, Nur Syazwani Radzi. /Pix FB Ayub Rahmat

Nur Syazwani yang membuat penampilan pertamanya di Sukan Sea berjaya mengawal tekanan untuk konsisten di tempat ketiga keseluruhan.

Angkatan 80 kilogram snatch dan 104 kilogram di clean and jerk yang dilakukannya, sudah cukup untuk dia kekal di kedudukan ketiga dengan 184kg keseluruhan.

“Saya terkejut la sebab kita first time main Sea Games.. So tak target medal hanya target angkatan terbaik.. ini first time saya dapat pingat,” katanya.

Pingat emas acara itu, diungguli atlet Indonesia, Tsabitha Alfiah Ramadani yang mengumpul angkatan seberat 204kg.

Manakala gangsa dimenangi Dinh Thi Thu Uyen dari Vietnam yang akur sekadar membuat 194kg.