PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil tindakan proaktif menyegerakan pengambilan jurulatih baharu bagi pasukan berbasikal bukit, bagi menggantikan jurulatih yang digantung tugas, susulan laporan polis dibuat pelumba wanita berkaitan gangguan seksual ketika latihan.

Naib Presiden 2 PKBM, Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, nama jurulatih baharu itu tidak dapat didedahkan berikutan pihaknya masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meluluskan pelantikan.

“Kita akui isu-isu ini (kes gangguan seksual) mengganggu persiapan pasukan MTB ke Sukan Sea. Tindakan sudah diambil kepada jurulatih melalui jawatankuasa disiplin PKBM.

“Jadi pada 31 Mac lalu, kita sudah ada calon yang sesuai dan telah mencadangkan namanya untuk menggantikan ketua jurulatih berkenaan. Jadi isu pelantikan jurulatih sudah selesai di peringkat PKBM.

“Sebab mahu atau tidak, kita kena lantik ketua jurulatih dalam kadar yang segera untuk memastikan program dan persiapan atlet berjalan lancar memandangkan kita hanya ada baki 35 hari sebelum bertanding di Sukan Sea Kemboja,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Naib Presiden PKBM Mohd Saiful Abdul Jalil segera mencari ketua jurulatih baharu bagi memastikan persiapan skuad berbasikal bukit tidak terjejas.

Menurutnya, jurulatih baharu yang bakal dilantik itu akan memegang jawatan ketua jurulatih berbasikal bukit dan beliau memberi bayangan bahawa jurulatih terbabit adalah seorang wanita.

Kelmarin FLASH SUKAN melaporkan persiapan skuad berbasikal negara ke Sukan Sea Kemboja terpalit dengan skandal gangguan seksual oleh jurulatih, selepas atlet wanita membuat laporan polis mengenainya.

Difahamkan, pelumba wanita berusia 20-an yang menjadi mangsa itu adalah pemenang pingat emas di temasya Sukan Sea Vietnam tahun lalu mengharungi detik hitam itu sejak kebelakangan ini dan lebih mengejutkan lagi pelakunya adalah jurulatihnya sendiri.

Dalam pada itu Saiful berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan atlet itu bagi membantu dari segi psikologi dan motivasi yang terganggu akibat masalah berkenaan.

Gangguan seksual : PKBM gantung tugas jurulatih berbasikal wanita kebangsaan

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya atlet berbasikal bukit itu mahu menarik diri dari menyertai Sukan Sea Kemboja, sebaliknya berkobar-kobar mahu mempertahan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lalu.

Mengulas lanjut, Sasiful turut menafikan pengumuman dibuat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh semalam, yang memberitahu media bahawa jurulatih yang dalam siasatan kes gangguan seksual telah meletak jawatan.

“Sehingga kini, saya masih berhubung rapat dengan jurulatih terbabit dan kami di PKBM tidak menerima apa-apa surat peletakan jawatan.

“Dia masih berada dalam penggantungan sehingga siasatan kes selesai. Cuma kami sememangnya menghalang jurulatih terbabit daripada berhubung dengan atlet berbasikal bukit,” kata Saiful.