WARGA daerah Keningau, Sabah tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri para pemain Sabah FC apabila membanjiri Kompleks Sukan Keningau ketika aksi persahabatan pramusim pada Selasa.
Sifat fanatik penyokong Sabah tidak boleh dinafikan dan apabila peluang datang, majoriti rakyat Keningau telah pun beratur seawal jam 6 pagi sementara menunggu kaunter tiket dibuka pada jam 10 pagi untuk sama-sama merasakan kehangatan perlawanan bola sepak tingkat tinggi.
FLASH SUKAN difahamkan sebanyak 6,753 keping tiket habis dijual tetapi kehadiran penyokong pada malam itu dikatakan melebihi 10,000 orang dengan ada yang sanggup menyaksikan dari pelbagai sudut di luar stadium untuk turut sama menyaksikan perlawanan ini.
The Rhinos hadir dengan kekuatan skuad penuh melibatkan kesemua pemain import dan pemain kebangsaan namun pengendali, Datuk Ong Kim Swee memulakan perlawanan dengan memberi peluang kepada anak-anak Sabah untuk beraksi menentang Keningau FA.
Hasilnya bagaimanapun tidak mengecewakan kerana Sabah berjaya mendahului 4-2 pada babak pertama dengan Azhad Harraz meledak dua gol sementara Keningau FA juga berjaya menjaringkan dua gol menerusi Jufrey Omopor dan Oliver Jhonny.
Penantian para penyokong untuk melihat dengan lebih dekat skuad utama Sabah terjawab pada babak kedua dengan kemasukan Darren Lok, Stuart Wilkin, Saddil Ramdani, Jaffri Chew dan Ramon Machado serta pemain kegemaran ramai dari Republik Korea, Park Tae-su.
Darren dan Ramon masing-masing meledak dua gol dengan Harith Naem, Telmo Castanheira, Jaffri dan Saddil menyumbang satu gol untuk keputusan penuh 10-2 memihak kepada Sabah FC.
Senyuman jelas terpapar di wajah kesemua penyokong yang gembira kerana diberikan kesempatan untuk melihat aksi Sabah FC di hadapan mata sendiri serta beramah mesra dan bergambar bersama-sama pemain kegemaran.
Apa yang boleh dipuji adalah keadaan penyokong yang sangat tertib dan berdisiplin serta menghormati para pemain dan begitu juga dengan keadaan pemain yang ‘sporting’ melayan kerenah para penyokong.
Selesai tugasan di Keningau, Sabah FC kini dalam rangka persiapan menghadapi Piala Sabah Maju Jaya yang akan berlangsung dari 28 April hingga 3 Mei 2024 di Stadium Likas melibatkan empat pasukan sebagai persediaan menjelang aksi pertama Liga Super menentang Penang FC pada 12 Mei 2024.