ATAS kertas, Korea Selatan menjadi pilihan mengungguli Kumpulan E, Piala Asia 2023 berdasarkan kelebihan ranking ke-28 Fifa yang turut dihuni Bahrain (86), Jordan (87) dan juga Malaysia (130)
Bagaimanapun, wartawan Jepun, Ekuni Shin dari portal Soccer Digest Web melihat peluang terbuka skuad Harimau Malaya mencipta sensasi mara ke Pusingan 16 buat kali pertama.
“Bagi kumpulan itu, saya rasa Korea mungkin akan menjadi asas paling kukuh menamatkan aksi kumpulan, tetapi saya fikir ia mungkin akan menjadi pertempuran sengit untuk tempat kedua dan ketiga.
“Jadi saya rasa ada peluang yang baik bahawa Malaysia akan mara ke 16 terbaik,” katanya kepada FLASH SUKAN di Doha, Qatar.
Mengulas lanjut, Ekuni Shin percaya tahap bola sepak Malaysia boleh setara dengan negaranya tetapi memerlukan lebih masa untuk kembali digeruni di pentas Asia.
“Persoalannya adakah Malaysia boleh menjadi sama dengan Jepun, tetapi Jepun juga merupakan negara yang sangat lemah pada masa lalu. Cuma, ia menjadi lebih profesional, dan secara beransur-ansur Jepun menjadi lebih kuat, dan kini berada di tahap terbaik Asia.
“Sejujurnya, perubahan tidak akan berlaku serta-merta, tetapi bola sepak kami telah mengusahakannya (berkembang) untuk masa yang lama.
“Saya fikir terdapat banyak masa depan untuk bola sepak Malaysia hari ini,” katanya.
Kemajuan Samurai Biru mula menonjol sejak layak kali pertama ke Piala Dunia 1998 di Perancis dan gah muncul pemenang empat kali saingan Piala Asia.
Manakala, era Kim Pan-gon berjaya merubah dimensi baharu arus perdana bola sepak Harimau Malaya dan kini berada di ranking 130 dunia.