PENGALAMAN membuat liputan di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan sempena perlawanan ketiga Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC (ACL) antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Ulsan Hyundai menjadi ruang untuk mendapatkan pendapat wartawan tempatan mengenai JDT.

Walaupun majoriti daripada mereka tidak pandai berbahasa Inggeris namun mereka tetap bersemangat untuk bertanyakan soalan kepada pengendali JDT, Esteban Solari ketika sesi sidang media yang dibantu penterjemah.

Seorang wartawan yang berpangkalan di Seoul, Lee Jae-min bertegur sapa dan kebolehannya berbahasa Inggeris memudahkan komunikasi dan dia berkongsi pendapat peribadinya mengenai JDT dan dia juga akan ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi keempat pada November.

Wartawan sukan Korea Selatan, Lee Jae-min

Jae-min berpendapat bahawa JDT adalah sebuah pasukan yang unik kerana dibarisi banyak pemain yang berbakat sama ada pemain tempatan, warisan mahupun naturalisasi dan kehadiran Harimau Selatan di ACL membuka mata banyak pihak terutama di Korea Selatan.

“JDT adalah pasukan yang unik. Anda berbelanja besar dan mempunyai pemilik Putera Raja yang faham dan tahu akan bola sepak. Anda bukan sahaja membina sebuah stadium yang canggih dan cantik tetapi juga anda membina pasukan yang mampu memberikan saingan di peringkat tertinggi kelab Asia ini,” katanya.

Pujian terhadap JDT bukan hanya diberikan daripada wartawan tempatan malah pengurusan tertinggi kelab Ulsan Hyundai juga datang menemui penyokong JDT di luar stadium untuk bertanya khabar dan menyambut kehadiran mereka ke Ulsan.

Stadium Ulsan Munsu

Ketika ada penyokong yang memuji keindahan Stadium Ulsan Munsu, kedua-dua pegawai pasukan itu dengan segera mengatakan Stadium Sultan Ibrahim lebih baik dan mereka menyukainya selepas hadir sendiri ke Iskandar Puteri ketika perlawanan ACL musim lalu.

Dia turut gembira dengan kehadiran lebih 100 orang penyokong JDT yang sama-sama memeriahkan perlawanan yang epik di mana Ulsan Hyundai menewaskan Harimau Selatan 3-1 untuk memastikan peluang layak ke peringkat seterusnya kembali terbuka.

Penyertaan JDT di kejohanan ACL bukan sahaja menaikkan taraf bola sepak tempatan malah semakin ramai yang mengetahui tentang bola sepak Malaysia dan mereka juga tidak sabar untuk berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim.

Suasana ala eropah di Stadium Sultan Ibrahim

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga dikenali ramai dan dicemburui kerana usahanya membina pasukan yang mampu mencabar di peringkat Asia dalam masa yang singkat selain mempunyai fasiliti yang menepati kehendak bola sepak moden.

Inilah yang mungkin dikatakan sebagai Luaskan Kuasamu Johor kerana nama JDT kini menjadi sebutan hingga ke luar negara dan membuatkan pengendali Ulsan Hyundai berpesan supaya penyokong di Korea Selatan mengubah persepsi mereka terhadap kelab dari Asia Tenggara.

Gamsa Hamnida Ulsan.