SIKH Izhan Nazrel Sikh Azman sedar skuad Thailand yang akan ditentang pada perlawanan kedua kumpulan B, Sukan  Kemboja SEA petang ini, cukup berbahaya ketika menyerang, terutamanya menerusi set piece dan hantaran-hantaran mereka.

Pun begitu, itu tidak mematahkan semangat pasukan Harimau Malaya bawah 22 tahun (B-22) untuk memberi aksi terbaik sekali gus mencari kemenangan kedua.

Menurutnya, berdasarkan nalisa rakaman video perlawanan, set piece dalam kawasan pertahanan negara mudah diancam lawan sekiranya kurang berwaspada.

Sikh Izhan Nazrel sedar kelebihan Thailand, namun mengakui rakan sepasukan dalam skuad B-22 mempunyai ramuan yang baik berdepan tetangga itu.

“Kita juga perlu berjaga-jaga dengan pertukaran hantaran terutamanya dari tengah padang dan perlu lebih fokus kepada jentera pertahanan, Ya saya pernah bermain di peringkat bawah umur dan sering menentang Thailand, namun pasukan mereka ini terdiri daripada gabungan muka baharu dan lama yang beraksi di liga elit mereka,” kata Sikh Izhan Ketika sesi latihan di Stadium EDC.

Selain itu, penjaga gol itu juga mahu pemain meningkatkan persefahaman dan menjadikan pengajaran terhadap semua situasi berlaku pada perlawanan pertama menentang Laos yang menyaksikan Malaysia menang 5-1.

Skuad B-22 negara menjalani latihan menjelang pertemuan Malaysia-Thailand petang ini.

“Jika menentang Laos padang sudah teruk, saya pasti perlawanan hari ini, padang lebih teruk dan di bahagian pertahanan, kami perlu lebih berjaga-jaga dan paling penting persefahaman.

“Salah faham yang berlaku antara  saya dan Ubaidullah (Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili) tidak boleh berlaku,” katanya merujuk kepda jaringan sendiri Ubaidullah Ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21.

Jurulatih, E Elavarasan menekankan aspek penyudah dalam kalangan penyerang.

Sementara itu, penyerang negara Muhammad Aliff Izwan Yuslan berkata, jurulatih E Elavarasan menekankan aspek latihan menjaringkan gol.

“Coach menekankan ketajaman menjaringkan gol kerana di peringkat kumpulan, kami memerlukan jumlah jaringan yang tinggi,” kata Alif.

Pemain perlu berani memegang bola untuk mengawal perlawanan petang ini.

Keputusan positif menentang Thailand amat diperlukan sebelum skuad negara berdepan Vietnam pada perlawanan seterusnya.

Skuad bimbingan Elavarasan memburu pingat emas bola sepak pertama sejak kali terakhir memenanginya 12 tahun lalu.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam kumpulan B, Malaysia dan Thailand sama hebat mengumpul tiga mata manakala Singapura dan Laos belum memungut sebarang mata, Ketika Vietnam unggul dengan enam mata.