DI sebalik penampilan Harimau Malaya, tentu sekali banyak kisah-kisah di balik tabir yang tidak didedahkan kepada umum.

Dalam mana-mana perjuangan, pengorbanan individu dan secara kolektif bukan perkara baharu, bahkan dituntut.

Sebuah pasukan bukan terbentuk hanya dengan 11 pemain.

Pemain di bangku simpanan juga sebahagian daripada percaturan penting seorang jurulatih.

Mohd Hasni (kanan) sentiasa memastikan keperluan skuad negara diutamakan.

Setiap individu yang tersenarai dalam pasukan, termasuk doktor, ahli fisioterapi, pegawai media dan pegawai keselamatan, adalah tulang belakang yang membentuk sistem sokongan mana-mana pasukan bola sepak.

Antara individu yang berkorban masa dan tenaga membahagikan komitmen tugasan bersama pasukan kebangsaan dan keluarga ialah ASP Mohd Hasni Hussin, pegawai keselamatan skuad negara.

Tidak ramai yang sedar Mohd Hasni yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, terpaksa membahagikan waktunya di antara tanggungjawab menguruskan keselamatan pasukan dan keperluan anaknya yang sakit.

Anak bongsunya, Muhammad Luqman Haqem, 9 tahun, menghidapi penyakit epilepsy dan terlantar di wad kritikal sebuah hospital di ibu kota selepas dimasukkan pada Ahad lalu.

FLASH SUKAN mendoakan agar segala urusan Mohd Hasni seisi keluarga dipermudahkan oleh Allah SWT.

Mohd Hasni yang mula dilantik sebagai pegawai keselamatan FAM bersama skuad Bawah 19 tahun kebangsaan sejak 2019, ditugaskan memantau pergerakan pemain agar tidak melanggar peraturan pasukan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon.

Selain itu, Mohd Hasni bekerja rapat dengan pengurusan pasukan untuk melancarkan urusan logistik, termasuk memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).