MELIHATKAN prestasi jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang masih tercari-cari rentak larian terbaik, bekas pemilik rekod kebangsaan 100 meter (m), Watson Nyambek berasakan belum tiba masanya untuk pelari berusia 20 tahun itu beraksi di pentas Sukan Olimpik di Paris 2024.

Watson ketika dihubungi Flash Sukan berkata, beliau memilih Shereen Samson Vallabouy sebagai calon paling sesuai diberikan tiket wild card untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu, Julai depan.

“Pandangan saya ini tidak bermakna bahawa Azeem tidak bagus, cuma ruang untuk dia melayakkan diri ke Paris, terlalu hampir dan saya rasa itulah punca dia berasa tertekan.

“Sebab itu saya berpendapat, lebih baik KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) memberikan wild card kepada Shereen (Samson Vallabouy),” kata Watson, ketika dihubungi.

Kedua-dua pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy menjadi dua nama besar yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa beberapa tahun kebelakangan ini.

Watson menolak andaian bahawa Azeem mampu menampilkan prestasi jauh lebih baik apabila diberikan tiket wild card dan beraksi di Paris: “Tidak mungkin perkara itu boleh terjadi sebegitu. Picking form dia itu memainkan peranan juga… kalau dia berasa top form dia bagus, mengapa dia mensia-siakan peluang yang terhidang, sebab itu saya katakan Azeem masuh tercari-cari rentak sebenar.”

Berbeza dengan Shereen, Watson berkata, pemegang rekod kebangsaan 400m wanita itu sentiasa konsisten dalam lariannya.

Benarkah Muhammad Azeem Fahmi belum bersedia dan tercari-cari rentak larian?

“Saya rasa Shereen lebih layak kerana catatan masa tidak jauh dengan kelayakan malah dia lebih konsisten dengan beberapa kali memecah rekod kebangsaan,” tambah Watson.

Begitupun, mungkin Watson terlepas pandang bahawa Shereen mampamerkan prestasi konsisten dalam acara 400m dan tidak konsisten menyertai larian 100m.

Ini berikutan tiket wild card yang disediakan hanya untuk acara 100m, 800m dan maraton, manakala tiada tiket buat pelari 400m.

Mampukah Shereen Samson Vallabouy mencipta sensasi sama seperti acara 400m seandainya diberikan wild card ke Paris dalam acara 100m wanita?

Begitupun, Watson berkata, dia hanya menyatakan pandangannya dan keputusan mutlak berada di tangan KOM.

Pada Terbuka Kazakhstan hujung minggu lalu, Azeem dan Shereen gagal melakukan catatan had kelayakan ke Olimpik Paris, sekali gus terlepas tiket merit ke temasya terbabit.

Azeem menamatkan larian 100m dengan pingat gangsa dengan catatan 10.37s, manakala Shereen menjuarai acara 400m dengan catatan 52.60s.

Untuk layak secara merit dalam 100m lelaki, Azeem perlu mencatat sekurang-kurangnya 10.00s manakala Shereen perlu melakukan 50.95s ke bawah untuk layak dalam acara 400m wanita.

Sebagai rekod, Azeem memegang rekod kebangsaan 100m lelaki denan catatan 10.09s, manakala Shereen mencatat masa 51.79s dalam acara 400m wanita.