KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak seharusnya bergelut untuk menamakan penerima tiket wild card, apabila dua nama iaitu Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy menjadi perbandingan.
Bekas jaguh pecut kebangsaan, Nazmizan Muhammad berpendapat, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota wild card itu disediakan untuk atlet bagi acara 100 meter (m), 800m serta maraton dan tidak seharusnya berlaku kesukaran membuat keputusan untuk memilih atlet yang sememangnya berlari dalam acara 100m dengan atlet yang berlari dalam acara 400m.
Nazmizan yang juga Olimpian yang menggunakan wild card dalam acara 200m di Sukan Olimpik Athens 2004 berkata, situasi berbeza sekiranya Shereen juga adalah pelari 100m, yang berusaha dalam acara itu sejak awal lagi.
“Saya bercakap mengikut fakta bahawa jelas sekali wild card itu untuk 100m, jadi pilihan Malaysia seharusnya Azeem.
“Mungkin KOM bimbang keputusan dilakukan akan dipertikai, memang mereka seharusnya telus dalam pelbagai sudut, namun perlu diingat bahawa kini slot universal diberikan untuk acara 100m, 800m dan maraton,” kata Nazmizan, ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Tambahnya, jika prestasi menjadi ukuran, pencapaian Shereen di peringkat antarabangsa hanya dalam acara 400m namun tidak boleh dinafikan prestasi Azeem dalam 100m.
Nazmizan berkata, Azeem berlari dalam acara 100m di kejohanan-kejohanan kompetitif: “Ya Azeem dan Shereen meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tapi dalam dua acara berbeza.
“Jika prestasi menjadi ukuran, prestasi Azeem di Sukan Asia Hangzhou, dia berlari 10.28s (saringan), 10.17s (separuh akhir) dan 10.11s (final).”
Tanpa menafikan pencapaian Shereen dalam acara 400m, Nazmizan berkata, sekiranya pelari yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat itu mahu dipertimbangkan, seharusnya berlari secara rutin dalam 100m.
Justeru, beliau berharap KOM lebih rasional dalam pemilihan atlet ke Olimpik kali ini.
“Jangan gunakan alasan Azeem baru berusia 20 tahun, masih ada dua peluang ke Olimpik, Shereen sudah 26 perlu diberikan peluang. Untuk ke Sukan Olimpik, usia bukan ukurannya,” ujar Nazmizan.
Nazmizan turut melemparkan persoalan, sekiranya Azeem yang berada pada posisi Shereen, iaitu berlari dalam acara 400m dan hanya sekali berlari dalam 100m, ketika Shereen diandaikan sebagai pelari 100m, adakah situasi pemilihan ini akan menjadi sesukar ini?