TEKA-TEKI mengenai wakil olahraga negara ke Sukan Olimpik 2024 berakhir apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan untuk memberikan slot wild card kepada jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Pengumuman oleh Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang media khas di Parlimen itu, sekali gus menamatkan spekulasi yang bertebaran di media sosial.
Keputusan itu juga menyaksikan Azeem mengetepikan pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menjadi seorang lagi calon untuk diberikan wild card ke Paris.
Pada sidang media khas itu, Shahidan berkata, Azeem yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou dipilih memandangkan slot wild card yang ditawarkan oleh Olahraga Dunia, khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton.
“Kedua-dua atlet sudah berusaha keras untuk melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris berdasarkan pencapaian yang diraih mereka.
“Namun, kedua-dua atlet didapati tidak berjaya mencapai had kelayakan ditetapkan bagi menyertai Sukan Olimpik Paris.
“Sebelum ini, dua slot wild card diberikan iaitu satu lelaki dan satu wanita. Namun, kali ini hanya satu diberikan.
“Memang keputusan yang berat untuk kita buat. Namun, akhirnya kita kena buat keputusan berdasarkan tawaran yang diberikan iaitu wild card diberikan untuk pelari 100m, 800m dan maraton.
“Dengan ini, pihak KOM yang sudah bermesyuarat semalam memutuskan wild card ini diberikan kepada Azeem,” kata Shahidan.
Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.
Semalam, Azeem mencatat masa 10.37s meraih pingat perak di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Malang-Surabaya, Indonesia selepas tewas kepada pelari tuan rumah, Lalu Muhamad Zohri yang mencatat 10.19s.
Sementara Shereen yang berlari di final 400m, memenangi pingat emas dengan catatan 53.71s, menewaskan pelari Thailand , Benny Nontanam dan wakil Indonesia, Maulidah untuk pingat perak dan gangsa.