KEHADIRAN bintang Liga Perdana Inggeris dalam kempen pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan menjadikan temasya bola sepak terbesar tersebut lebih mencabar.

Itu reaksi pemain tengah berpengaruh Harimau Malaya, Stuart Wilkin ketika ditanya mengenai persediaan menghadapi perlawanan Kumpulan E yang dibarisi Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Pemain Malaysia akan bertentang mata dan berlaga bahu dengan tonggak handalan Tottenham Hotspur, yang juga kapten Korea, Son Heung-min pada aksi terakhir kumpulan pada 25 Januari depan.

Selain Heung-min, Korea juga membawa bersama pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae, perancang Paris Saint-Germain, Lee Kang-in dan pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan.

“Sudah tentu sangat mencabar kerana terdapat pasukan ranking baik Kumpulan E, terutamanya Korea Selatan, pasukan Piala Dunia. Kami kena bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk perlawanan itu.

“Pastinya akan menjadi satu cabaran yang besar, tetapi saya fikir kita semua sangat teruja untuk mencabar diri sendiri menentang mereka.

“Jurulatih selalu menyebut bahawa kita perlu menghormati lawan lain tetapi juga tidak boleh memberi muka.

“Kami menghormati diri sendiri, cuba bermain, melawan dan mencabar lawan supaya tidak memberi mereka banyak ruang untuk melakukan apa yang mereka mahu,” katanya ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah bersama edisi 2007 selepas dua penampilan iaitu pada 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait.

Pemain kelahiran Woking, United Kingdom berusia 25 tahun itu lega apabila persiapan sesi latihan berjalan lancar walaupun mempunyai masa rehat yang singkat.

“Ini adalah masa yang sangat mengujakan untuk semua orang. Begitu lama Malaysia menunggu berada di Piala Asia dan menantikan kejohanan itu.

“Saya juga gembira melihat persaingan yang baik di bahagian tengah, pemain yang sangat berbakat di seluruh Malaysia. Mereka telah dipilih kali ini dan beberapa pemain yang ada sekarang miliki cukup pengalaman dan tahap kualiti yang tinggi.

“Pastinya akan membantu kami bergerak ke hadapan dan menjana bahagian tengah, saya percaya kita mampu untuk bermain, mendorong satu sama lain menjadi yang terbaik,” katanya.