PEMAIN tengah baharu Sabah FC, Stuart John Wilkin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Johor Darul Ta’zim II kerana membenarkannya bermain secara pinjaman ke Sabah FC sebelum ini.
Ia sekaligus membuka peluang buat ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon yang melihat potensinya dalam skuad kebangsaan.
“Ya, ia adalah langkah yang tepat untuk menunjukkan kemampuan saya di Liga Super. Sudah tentu Sabah dan Johor beri saya peluang untuk melakukan ini. Saya sangat berterima kasih kepada mereka. Saya ada musim yang sangat baik di Sabah.
“Jurulatih kebangsaan melihat banyak pemain di liga dan mengambil peluang ini untuk memberi saya bermain bersama skuad kebangsaan,” katanya kepada media sebelum sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya.
Jelasnya, debut bersama skuad kebangsaan sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin pemain kelahiran England itu kerana menyedari dia terpaksa bekerja keras bagi mengisi slot arkitek tengah kebangsaan kerana persaingan pastinya sukar dengan kehadiran beberapa pemain lain yang turut mempunyai kualiti tersendiri.
“Sudah tentu ia akan menjadi sukar, panggilan pertama saya. Banyak pemain yang baik dan menginginkan posisi saya bermain. Ya , saya harus bekerja keras di bawah jurulatih Pan Gon,” ujarnya.
Dengan jadual serta sesi latihan yang agak singkat, Stuart menjelaskan dia akan lebih bersikap open minded dan tidak membantah arahan jurulatih kerana dia masih baharu dan memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk terus berjaya.
” Saya rasa sebagai pemain baharu, saya perlu open minded. Jurulatih sudah tentu mahukan kita mengikut taktik yang ditunjukkan.
” Secara peribadi, sudah tentu saya ingin melakukan yang terbaik dan sudah tentu akan terjumpa beberapa muka yang sama. Kita akan cuba dapatkan keputusan yang dimahukan melalui sesi latihan yang singkat ini,” jelasnya.