FOTO : KDA FC
PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira kian positif untuk menghadapi perlawanan Liga Super yang seterusnya selepas berjaya meledak gol ketiga peribadi musim ini.
Lira yang mendapat kepercayaan Nafuzi Zain tidak mensesiakan peluang dimiliki untuk membantu Kedah menumpaskan Penang FC dalam pertemuan derbi utara di Stadium Darul Aman pada Rabu.
“Saya rasa bagus untuk jaringan ini dan kadang-kadang ada masa tak menjadi. Sebagai penyerang, anda tahu teknik kadang-kadang saya akan bergerak untuk membuka ruang pemain lain.
“Apabila saya mempunyai peluang saya mesti menjaringkan gol,” ujar penyerang kelahiran Brazil itu.
Walaupun dikecam hebat segelintir peminat Sang Kenari kerana ketandusan gol dalam beberapa perlawanan lalu, Lira yang pernah beraksi dalam Liga Jepun lega apabila objektif utama meraih tiga mata tercapai.
Sementara itu, Nafuzi tidak begitu gusar kebolehan Lira yang sentiasa berusaha keras menggandakan lagi kemampuan dirinya untuk terus memburu gol.
“Sebenarnya dia dah jaringkan dua gol dalam enam permainan. Saya rasa bukanlah teruk sangat tetapi sebagai penyerang perlukan lagi jaringan. Bagi saya, sesiapa pun pemain import, muda dan senior saya percayakan mereka dan tidak cepat menghukum pemain.
“Saya tahu kebolehan apa yang dia ada,” katanya selepas perlawanan.
Nafuzi kini sibuk menyiapkan skuad terbaik bertemu pendahulu, Johor Darul Ta’zim di Iskandar Puteri pada Ahad dan kehilangan dua pemain tonggak yang digantung perlawanan.