KEDAH Darul Aman FC mengesahkan telah mencapai persetujuan bersama untuk berpisah dengan penyerang utama, Willian Lira selepas beberapa perbincangan mendalam dari kedua-dua pihak.

Lira, pemain dari Brazil itu adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam Liga Super setakat 14 perlawanan dengan 8 gol dan dilihat sudah mula serasi dengan corak permainan yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab sekaligus menimbulkan spekulasi siapakah yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Lira menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai.

“KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willain Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusan beliau untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringan beliau cukup baik dalam setiap perlawanan.

“Walaupun penampilannya di awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun pemain berasal dari Brazil ini bangkit membuktikan ketajaman dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan.

“Kemana sahaja anda selepas ini, ingatlah anda selamanya Sang Kenari! Terima kasih Willain Lira Sousa,” tulis kenyataan itu.

Lira yang dibawa masuk ke Kedah dari kelab J2, Ventforet Kofu dikatakan mahu melebarkan sayapnya di Liga Thailand pula selepas ini dan sudah pasti barisan kejurulatihan Kedah sudah mempunyai perancangan untuk mencari pengganti penyerang prolifik ini.