KEDAH Darul Aman (KDA) FC meneruskan rentak sensasi dalam perlawanan persahabatan pramusim selepas menewaskan Kelantan FC 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Kedah menggunakan peluang pertembungan ini untuk menguji kemampuan pelatihnya terutama pemain import baharu yang baru direkrut musim 2023.

Bagaimanapun, gol hanya hadir pada babak kedua menerusi penyudah sempurna awang import dari Brazil, Willian Lira Souza.

 

Babak pertama berlangsung hambar dengan kedua-dua pasukan banyak mencuba percubaan jarak jauh. Tuan rumah nyaris memperoleh jaringan pertama tetapi rembatan Al Hafiz Harun terkena palang.

Pertukaran hampir sebahagian besar oleh Nafuzi Zain sedikit menukar rentak permainan Sang Kenari yang kurang kreatif di bahagian tengah terutama di 45 minit pertama.

Kedah hampir menggandakan jaringan tetapi sepakan Amirbek Juraboev ditolak keluar penjaga gol pelawat, Rozaimi Rahamat.

Kira-kira 16,100 penyokong Hijau Kuning yang hadir pulang ke rumah penuh senyuman apabila Lira Souza menolak masuk gol kedua hasil hantaran Manuel Ott pada penghujung babak kedua.