SELEPAS bergelar naib juara pada temasya yang lepas di Perak, Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung bermula 16 hingga 24 September depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Kontinjen WiPers, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata, peluang mengintai kejuaraan keseluruhan mampu dicapai para atlet bertanding.

“Majlis Sukan Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran pencapaian tiga terbaik, tetapi saya yakin boleh juara jika ada usaha dan kemahuan yang bersungguh-sungguh,” pada majlis penyampaian amanat Kem Latihan Atlet WiPers SUKMA (KLAS) 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada Selasa.

Sementara itu, WiPers mengumumkan insentif sebanyak RM5,000 buat atlet yang memenangi pingat emas dalam sukan individu dan RM3,000 hingga RM4,000.

Bagi pemenang pingat perak pula, atlet akan menerima insentif sebanyak RM2,000 bagi acara individu dan RM1,000 hingga RM1,500 bagi berpasukan manakala bagi pingat gangsa, pemenang akan menerima RM1,000 bagi sukan individu dan RM500 hingga RM700 bagi acara berpasukan.

“Menerusi insentif ini , saya mengharapkan supaya kesemua atlet dan jurulatih WiPers lebih bersemangat dalam memastikan segala matlamat untuk muncul juara menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.

Atlet WiPers juga adalah antara yang teramai menyumbang pingat buat kontinjen negara pada Sukan SEA di Hanoi yang berlangsung bulan lepas.