KEKECEWAAN telah menimpa skuad Malayan Tigress apabila kalah tipis dengan pasukan Lubnan dalam aksi separuh akhir Women’s International Friendly 2023.

Penentuan sepakan penalti yang menyebelahi pasukan Lubnan dengan keputusan 4-3 telah meranapkan impian skuad kendalian Soleen Al-Zoubi untuk menundukkan pasukan daripada Asia Barat itu.

Namun, kapten pasukan Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur menyifatkan kekalahan tersebut sebagai satu perkara untuk mereka kembali bangkit dan fokus untuk merebut tempat ketiga.

Steffi juga melihat bahawa pasukannya sudah beraksi dengan cukup baik di atas padang walau akhirnya terpaksa akur dengan keputusan perlawanan.

“Saya sangat bangga dengan pasukan saya kerana masing-masing sudah berikan yang maksimum dalam perlawanan dimana ianya tidak mudah tetapi semua boleh bertahan hingga wisel tamat ditiupkan.

“Sudah tentu selepas ini kami akan fokus untuk memburu kedudukan tempat ketiga dan tidak memandang rendah terhadap mana-mana pasukan yang menjadi pihak lawan,” katanya dalam siaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pertarungan penentuan tempat ketiga akan dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Women’s International Friendly 2023 : Penentuan penalti ranapkan Malayan Tigress ke final