WONDA Coffee Malaysia, salah satu jenama kopi sedia diminum (RTD) terkemuka di Malaysia kini mengumumkan satu kerjasama yang mengujakan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Kerjasama ini diharap dapat mempertingkatkan persediaan Harimau Malaya bertanding di Piala Asia 2023, dengan Malaysia layak bertanding berdasarkan merit buat pertama kali dalam tempoh 43 tahun, kali terakhir beraksi berdasarkan merit pada tahun 1980.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya mengalu-alukan Wonda Coffee Malaysia sebagai rakan kopi rasmi mereka.

“Kami gembira diberi peluang untuk bekerja dengan jenama yang mempunyai matlamat dan prinsip yang sama. Kerjasama ini menandakan permulaan era baru buat bola sepak Malaysia.

“Dengan memupuk rasa cinta yang kuat terhadap sukan ini di kalangan rakyat Malaysia, kami berharap dapat membina ekosistem bola sepak yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Nerus di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T. Sundram juga teruja untuk bekerjasama bersama FAM dengan harapan untuk mencetuskan revolusi bola sepak di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara untuk terus menggapai mimpi.

“Sebagai pemain ke-12 yang menyokong pasukan kebangsaan kita di setiap langkah, kami berharap untuk terus menyemarakkan semangat skuad bola sepak negara dalam terus mengukir kejayaan,” katanya.