PENGARAH Kejurulatihan (Perseorangan) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan pemain-pemain negara menjelang saingan Piala Sudirman yang akan berlangsung di Suzhou, China 14 hingga 21 Mei depan.

Beliau yang juga bekas pemain No.1 dunia berharap skuad badminton kebangsaan dapat mengulangi pencapaian pada edisi terdahulu di Vantaa, Finland apabila melangkah ke pusingan separuh akhir.

Walaupun pencapaian Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu kurang memberangsangkan, namun Choong Hann yakin pemain-pemain negara akan mempamer kebangkitan.

“Kita sudah berada dalam kelompok empat teratas, namun saya tidak fikir kemampuan Malaysia sudah benar-benar kukuh. Apa yang pasti, kita akan cuba tampil lebih baik berbanding BAMTC lalu.

“Pada (Piala Sudirman) edisi lalu, kita berjaya kejutkan Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir, jadi sudah tentu kali ini kita tidak akan letak sasaran lebih rendah daripada itu seperti suku akhir,” katanya.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Wong Choong Hann optimis barisan pemain ke Piala Sudirman dalam proses meningkatkan prestasi.

Untuk rekod, Malaysia mara ke separuh akhir pada saingan Piala Sudirman 2021 selepas menewaskan Indonesia 3-2, namun langkah skuad negara terhenti apabila akur dengan kekalahan 1-3 kepada Jepun.

Dalam pada itu, Choong Hann percaya saingan kali ini lebih sukar kerana setiap pasukan dijangka mempertaruhkan barisan terbaik, lebih-lebih lagi kejohanan tersebut menjadi medan pemain-pemain mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sudah tentu kita mahukan (pingat) tetapi perlu ingat, setiap pasukan akan tampilkan barisan terkuat kerana ia adalah kejohanan pertama untuk kutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik, jadi boleh anggap semua pemain terbaik ada di sana nanti.

“Saya anggap pasukan sekarang masih berada dalam proses untuk bergerak ke hadapan. Saya fikir pengurusan, barisan kejurulatihan serta pemain perlu sesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu ini,” ujar beliau.