WONG Tat Meng mungkin akan bersara selepas berakhir tugasan membimbing Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Bayangan mengenainya dizahirkan pada akaun Instagram miliknya “tatmeng_wong” bermula dengan perkongsian mengenai saingan Piala Thomas di Chengdu, China sebagai kejohanan berpasukan terakhir.

Tat Meng, 57, berkata, selepas lebih 20 tahun bergelar jurulatih, persaraan mula bermain dalam kotak fikirannya.

Malah katanya, hasratnya itu pernah dikongsi dengan Zii Jia, sebelum dia mengambil tanggungjawab selaku jurulatih perseorangan profesional negara itu.

“Sebelum bekerjasama dengan Zii Jia, saya sudah berkongsi perancangan saya ini dengan dia. Sebab itu, kami berdua mencapai persefahaman bahawa Olimpik tahun ini adalah misi hidup mati (do or die) untuk kami.

“Buat masa sekarang, fokus saya adalah untuk membantu Zii Jia mengharungi fasa akhir persiapannya menghadapi Sukan Olimpik.

“Apa yang akan berlaku atau tidak akan berlaku selepas Olimpik saya belum fikirkan secara mendalam lagi,” katanya, ketika dihubungi.

Terdahulu, menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, dia memaklumkan yang saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China yang berakhir Ahad lalu adalah yang terakhir dalam kerjayanya selaku jurulatih.

Perkongsian daripada Tat Ment itu bermakna, dia tidak akan bersama pasukan lagi pada Piala Thomas di Horsens, Denmark 2026.

Ketika ini, Tat Meng masih mempunyai kontrak bersama Team LZJ dan akan tamat selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Wong Tat Meng sudah menyatakan kepada Lee Zii Jia rancangan persaraannya, sebelum bersetuju melatih pemain profesional negara itu.

Untuk rekod, Tat Meng mula membimbing pemain perseorangan profesional lelaki negara itu pada Julai tahun lalu.

Sebelum itu, Tat Meng menjawat tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan Hong Kong selama setahun selepas empat tahun bersama Persatuan Badminton Korea (BKA) yang menyaksikan dia turut membimbing perseorangan wanita nombor satu dunia ketika ini, An Se Young.

Tat Meng juga merekodkan dua kali menjadi jurulatih kebangsaan iaitu pada 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016.