WONG Tat Meng sah dilantik sebagai jurulatih baharu kepada perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.

Pengumuman itu dibuat menerusi akaun rasmi Twitter Team LZJ, yang mengesahkan pelantikan Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, sekali gus menamatkan teka-teki siapakah jurulatih yang menjadi pilihan pemain ranking ke-10 dunia itu.

Pemain professional itu bergerak tanpa jurulatih selepas menamatkan kontrak Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Wong Tat Meng ketilka melatih Kristy Gilmour dari Scotland./Pix Agensi

“Dengan sukacitanya kami mengumumkan pelantikan Wong Tat Meng sebagai Pengarah Kejurulatihan baru buat Team LZJ.

“Tat Meng mempunyai banyak pengalaman yang luas menerusi tugasnya sebelum ini, melatih pasukan kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan, dan terkini Hong Kong.

“Beliau akan mula bekerja dengan Lee Zii Jia sebaik sahaja proses pemindahannya dari Hong Kong ke Malaysia selesai.

“Tugas segera jurulatih Tat Meng adalah merangka program yang akan membantu Zii Jia mencapai prestasi yang konsisten, memperbaiki ranking dunia, dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Wong Tat Meng ketika melatih pemain Korea Selatan, An Seyoung./Pix Agensi

Tat Meng mempunyai rekod baik dalam arena badminton dunia apabila pernah melatih beberapa nama besar antaranya pemain perseorangan wanita Korea Selatan, An Se-young.

Selain itu beliau juga pernah melatih pemain Hong Kong, Ng Ka Long, Lee Cheuk Yiu, Vincent Wong dan perseorangan wanita Scotland, Kirsty Gilmour.

Selain Wong Mew Choo, Wong Tat Meng pernah melatih Sonia Cheah, Tee Jing Yee dan perseorangan wanita negara yang lain. /Pix Agensi

Tat Meng pernah melatih skuad kebangsaan (perseorangan wanita) kebangsaan pada 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016.

Beliau juga bertanggungjawab atas kejayaan ratu perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo terutamanya pada zaman kegemilangan pemain itu pada 2007, ketika menjuarai Terbuka China dengan menewaskan barisan nama besar yang mendominasi ranking teratas dunia seperti Zhu Lin, Zhang Ning dan Xie Xingfang.