PEMENANG dua pingat emas Kejohanan Wushu Dunia, Wong Weng Son mahu meninggalkan dunia atlet hujung tahun ini dengan kilauan pingat emas.
Jaguh wushu lelaki negara yang berusia 32 tahun itu, tidak bersembunyi lagi berkongsi hasratnya, namun penyudah emas yang dimahukan bukan sesuatu yang mudah.
Weng Son, antara atlet wushu paling senior masih mewakili negara, mengharapkan penutup karier yang baik dengan menyasarkan memenangi pingat emas di Kejohanan Wushu Asia dan Piala Dunia, masing-masing pada September dan Oktober depan.
“Saya memang sudah mahu bersara tahun ini tapi saya sasarkan untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Wushu Asia dan Piala Dunia Wushu (Taolu), untuk tamatkan kerier dengan gemilang,” kata Weng Son.
Kejohanan Wushu Asia akan berlangsung pada September di Macau, paling dinanti-nantikannya selepas kejohanan empat tahun sekali itu, kali terakhir dianjurkan pada 2016.
“Saya pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Asia pada 2016, dan saya menunggunya namun pada 2020 dibatalkan kerana pandemik Covid-19,” ujar Weng Son.
Pada edisi 2016 di Taoyuan, China, Weng Song meraih pingat emas dalam acara Jianshu.
Pada tahun lalu, Weng Son memburu emas di Sukan Asia Hangzhou, namun tidak kesampaian selepas sekadar meraih perak dalam acara gabungan, Jianshu/Qiangshu, yang menyaksikannya tunduk kepada Muhammad Daffa Golden Boy dari Indonesia.
Sebagai atet senior, Weng Son berterima kasih kepada Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt kerana sering mempercayai kemampuannya untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
Sementara itu, pada saingan Piala Dunia (Taolu) di Jepun, Oktober depan, Weng Son mengharapkan tuah mengiringi tahun ini untuk memburu emas.
Dia sudahpun mengumpul tiga emas di Piala Dunia, dua daripadanya pada edisi 2018 di Yangon, Vietnam menerusi acara Jianshu dan Qiangshu, manakala satu lagi pingat emas dimenanginya pada edisi 2016 di Fuzhou, China, dalam acara Jianshu.
Menurutnya, saingan Piala Dunia di Jepun itu akan menjadi kejohanan terakhirnya, sebelum bersara.