SKUAD wushu negara, menutup saingan hari terakhir Kejohanan Wushu Dunia 2023 di Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS) dengan tambahan satu lagi pingat perak, menerusi Wong Weng Son dalam acara jianshu lelaki.
Kutipan pingat oleh Weng Son itu, menjadikannya atlet wushu terbaik negara di kejohanan terbabit selepas berjaya membawa pulang satu emas dan dua perak, secara peribadi.
Jurulatih yang mengiringi pemain ke Texas, Koo Chee Zhong berkata, skuad negara mencapai matlamat kejohanan dengan cemerlang.
“Weng Son mempamerkan satu lagi persembahan cemerlang pada rutin terakhirnya, cukup memberangsangkan.
“Dia melengkapkan sasaran kita di kejohanan kali ini. Dengan membawa lapan atlet, enam daripadanya memenangi pingat, manakala dua lagi menamatkan rutin di kedudukan keempat dan kelima.
“Pada edisi kali ini, kita menyertai 20 acara dan membawa pulang 11 pingat.
“Penyertaan acara kali ini jauh lebih sedikit berbanding Kejohanan Dunia 2019, namun kutipan pingat kita lebih tinggi,” kata Chee Zhong, ketika dihubungi.
Pada final Jianshu itu, Weng Son meraih 9.806 mata, tewas kepada atlet Macau, Song Chi Kuan (9.820) yang memenangi emas, manakala gangsa milik Muhammad Daffa Golden Boy dari Indonesia (9.786).
Sebelum ini, Weng Son meraih satu lagi perak dalam acara qiangshu selain emas dalam acara changquan.
Selain Weng Son, Clement Ting turut menyumbang pingat perak dalam acara daoshu lelaki, manakala tiga lagi perak disumbangkan atlet wanita, Loh Ying Ting dalam acara changquan dan daoshu, selain Sydney Chin dalam acara taijijian.
Skuad wushu negara menamatkan saingan Kejohanan Wushu Dunia 2023 di kedudukan kelima dengan keseluruhan 1 emas, 6 perak dan 4 gangsa, menjadikan keseluruhan 11 pingat.
China mengungguli saingan dengan 7 pingat emas, diikuti Macau 5 emas, 2 perak dan 1 gangsa, Singapura (2, 3, 2), Vietnam (2, 1, 1).
Ironinya, Hong Kong dan Brunei yang menonjol di temasya Sukan Sea Kemboja, gagal menyerlah kali ini apabila Indonesia sekadar memenangi 1 emas, 2 perak dan 4 gangsa sementara Brunei hanya 1 gangsa.
Pada edisi 2019, skuad negara membawa pulang 2 pingat emas, 5 perak dan 1 gangsa (8 pingat keseluruhan).
Pingat emas negara ketika itu disumbangkan menerusi Chuah Shang yang dalam acara xingyiquan lelaki dan Tan Cheong Min dalam acara nandao wanita.
Ketika itu, Weng Son menyumbang tiga perak buat negara.