PERSEKUTUAN Wushu Malaysia (WFM) lega apabila diberi lampu hijau oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan seorang lagi jurulatih wanita dari China untuk membimbing pasukan pelapis bagi acara taolu.
Perkara itu dimaklumkan presidennya, Datuk Chong Kim Fatt yang menyifatkan kedatangan jurulatih berkenaan bakal memberi impak besar kepada sukan berkenaan yang pada ketika ini disifatkan berada di tahap kritikal berikutan ketiadaan pelapis berwibawa, susulan pandemik yang melanda beberapa tahun lalu.
“Khabar baik buat kita, kita baru dapat kelulusan dari MSN. Membenarkan sukan wushu mengambil seorang jurulatih wanita secara sepenuh masa. Pada masa ini, kita ada tiga jurulatih lelaki, seorang jurulatih lelaki secara sepenuh masa untuk program podium dari China.
“Namun kali ini, kita akan dapat seorang jurulatih wanita untuk pelapis pula,” kata Kim Fatt, yang turut memaklumkan jurulatih berkenaan kini berada di Beijing dan mempunyai sebuah akademi wushu di sana.
Katanya, kehadiran jurulatih wanita itu amat signifikan, terutamanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius pelaksanaan kod sukan selamat.
Kim Fatt memaklumkan, WFM berdepan ‘tempoh kritikal’ untuk mencari pelapis berwibawa sejak 2018 lagi dengan beberapa langkah penyelesaian sudah diambil, antaranya menganjurkan kejohanan di peringkat domestik.
“Kita bimbang sejak 2018 lagi. Sampai ke hari ini wushu Malaysia sedang menghadapi tempoh kritikal untuk tahun 2025 hingga 2028. Ini kerana pelapis sedia ada masih belum dapat menggantikan atlet elit.
“Contohnya seperti Tan Cheong Min, dia akan mencapai tahap persaraannya (usia lebih 30 tahun) tidak lama lagi. Jadi bagi saya, ini adalah masa sesuai untuk kita mencari penggantinya, sebelum dia bersara.
“Maksudnya, empat atau lima tahun sebelum bersara (atlet senior), kita ada perlu ada atlet (pelapis) untuk mengambilalih, tetapi di belakang belum ada lagi,” kata Kim Fatt.