KONTINJEN negara nampaknya semakin terdesak menghitung bilangan pingat untuk menggenapkan sasaran 40 pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023, sukan wushu nampaknya lega berjaya menepati sasaran ditetapkan iaitu dua emas.
Sukan itu menutup tirainya pada Jumaat dengan skuad wushu negara menepati sasaran dua emas.
Malah pencapaian dua pingat emas, dua perak dan enam gangsa itu lebih bermakna buat Persekutuan Wushu Malaysia meskipun presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berasakan, mereka seharusnya mampu membantu kontinjen negara dengan pencapaian lebih baik, namun ketiadaan bantuan daripada kerajaan, membataskan segala perancangan yang dibuat.
Menurut Kim Fatt, Sukan SEA kali ini memuaskan terutamanya selepas pandemik Covid-19, namun pencapaian di Phnom Penh menunjukkan betapa jelasnya masalah dihadapi sukan wushu negara.
“Kali pertama di Sukan SEA, beberapa acara digabungkan untuk satu pingat emas, ya kita dapat keputusan yang bagus tapi membimbangkan.
“Aksi gabungan begini membimbangkan mereka, bukan masalah kemahiran, stamina sahaja, secara psikologi kena kuat, perlu cepat bertenang dan meneruskan aksi.
“Kebanyakan atlet kita bagus pada aksi hari pertama, tapi hari kedua, 90 peratus daripada mereka melakukan kesilapan, jadi saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” kata Kim Fatt, merumuskan prestasi skuad wushu negara di temasya Sukan SEA Kemboja.
Beliau turut menekankan atlet yang beraksi dalam kategori sanda: “Ada Sembilan acara Sanda dan kita menghantar dua atlet yang akhirnya menyumbang dua gangsa. Kita perlu terus galakkan atlet untuk memburu pingat di Sukan SEA di Thailand (2025) dan Sukan Asia (Hangzhou, China).
“Di Sukan Asia, ada 8 acara melibatkan taolu dan 8 acara sanda, kita ada peluang merebut pingat di Sukan Asia.”
Begitupun Kim Fatt mengakui, banyak lagi ruang boleh dipebaiki untuk atlet menempah kejayan.
“Persiapan kita tak cukup jika nak dibandingkan dengan Brunei, Indonesia dan Vietnam, mereka semua ada jurulatih sepenuh masa dari China dalam tempoh 10 tahun ini, kita pula sudah lima enam tahun tanpa jurulatih China, hanya hantar atlet menjalani Latihan sebulan di China, sudah tentu kesannya jauh berbeza.
“Kita memerlukan strategi jangka Panjang, sepenuh membentuk skuad wushu sepenuh masa secara professional.
“Sukan SEA di Vietnam kita peroleh dua emas, di sini juga dua emas, sepatutnya kita boleh dapatkan lebih banyak.”
Mengakui tidak mudah menguruskan pertubuhan atau persatuan bukan berasaskan keuntungan (NGO), ketidakcukupan dana melanda persekutuan itu ditambah langsung tidak menerima bantuan daripada kerajaan sejak berakhir Sukan Asia 2018.
Jika difikir secara logik sekalipun, bagaimana kerajaan mengharapkan sukan wushu yang tidak dibantu langsung, untuk menyumbang pingat kepada negara.
“Saya amat berharap Menteri baharu ini dapat membantu persatuan. Negara lain semakin rapat biarpun kita berkerja keras.
“Dulu kita dapat 3 hingga 4 pingat emas, kini semakin berkurang. Di Singapura, kerajaannya memberikan dana 1 juta dollar Singapura setahun, kita pula selepas Sukan Asia.. kosong,” ujarnya.
Berakhir acara wushu, Indonesia menggondon enam emas, enam perak dan dua gangsa, diikuti Vietnam, (6,3,2), Singapura (2,3,2) Malaysioa (2,2,6), Brunei (2,0,2), Kemboja (1,3,3), Myanmar (1,3,3), Filipina (1,1,4), Thailand (1,1,2), Laos (0,0,3).