LEBIH 150 orang pelatih dari empat kumpulan umur iaitu Bawah 9 Tahun , Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 17 Tahun menyertai Hari Terbuka XSelangor Soccer School di Stadium Mini Shah Alam pada Sabtu.

Menurut penganjur,  Shahrul Rizwan objektif  utama program ini untuk  melibatkan diri dalam program akar umbi dengan fokus untuk groom talent yang baharu.

“Mungkin diantara mereka yang ada bakat untuk bermain bola tetapi mereka mungkin tidak ada kelab, mungkin masih mencari akademi bola dan sebagainya, jadi kami menyediakan platform untuk mereka sertai sekolah bola sepak ini.

“Kami baru bermula semula operasi setelah berhenti sebelum ini ekoran pandemik Covid-19 tempoh hari. Ini boleh dikira sebagai satu soft launch, hari terbuka sekolah bola sepak kami supaya ramai ibu bapa dan pemain tahu yang kami dah bermula semula untuk terlibat dalam program pembangunan ini,” kongsinya.

Tambah Shahrul,  program ini tidak dapat dijalankan tanpa inisiatif oleh bekas-bekas pemain Selangor seperti Malek Rahman, Mubin Mokhtar dan Nizaruddin Yusof  yang mahukan  program akar umbi ini dilaksanakan.

Hari terbuka XSelangor Soccer School menyaksikan 150 pemain daripada empat kumpulan umur datang menjalani latihan bersama bekas pemain-pemain Selangor

Ditanya mengenai perbezaan program akar umbi ini dengan program akar umbi yang lain, Shahrul menjawab yang program akar umbi di sekolah bola sepak mereka lebih teratur dan sistematik.

“Modul latihan semua datang daripada orang yang berpengalaman dalam bola sepak. Kita mempunyai bekas-bekas pemain yang memang professional certified untuk buat coaching untuk peringkat akar umbi.

“Kita mempunyai golongan profesional yang bukan sekadar ada lesen kejuralatihan tetapi memang berpengalaman dalam dunia bola sepak yang sebenar dan mereka sendiri akan turun padang untuk melatih pemain-pemain muda ini.

“Kami juga menerima maklum balas yang cukup baik dan positif daripada ibu bapa pemain yang datang pada hari terbuka hari ini dan kebanyakan daripada mereka membuat permintaan untuk teruskan program ini di tempat lain selain Shah Alam pula,” ujarnya lagi.

Shahrul juga menyasarkan untuk membuka empat pusat XSelangor Soccer School di sekitar Lembah Klang sebelum akhir tahun, dengan rancangan ingin membuka di Klang, Bangi dan Gombak.

Dia juga berharap sekolah ini bukan sahaja tempat pemain untuk menggilap bakat mereka tetapi juga untuk  menimba ilmu untuk menjadi pemain bola sepak yang sebenar.