YAYASAN Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (Yakeb) telah membelanjakan kira-kira RM500,000 untuk menjaga kebajikan bekas atlet sepanjang tahun ini.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, perbelanjaan itu membabitkan pelbagai keperluan ahlinya, baik membabitkan kos rawatan, sara hidup dan lain-lain.
“Bukan saja khairat tetapi sumbangan bulanan dan juga bantuan kos hospital. Kita juga melakukan ziarah bagi laksanakan amanah menjaga bekas atlet,” katanya, selepas Majlis Serahan Cek Khairat kematian kepada isteri Allahyarham Khalid Ali, Siti Norkhanah Mohammed Yatim.
Mengenangkan sikap Khalid, beliau berkata, Allahyarham seorang yang terlalu sayangkan bola sepak negara.
“Saya masih ingat masa dia (Khalid) terjaga daripada koma, terus bercakap mengenai bola sepak dengan saya. Dia kata budak-budak (pemain) perlukan masa lebih lama, bukannya setahun dua untuk masuk ke Olimpik sebaliknya lima ke enam tahun punya program.
“Saya minta dia berehat dan biarkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jaga pasukan. Masa dia sakit pun dia mahu bola sepak kita kembali gemilang seperti zaman dulu.
“Itulah cita-cita dia, jadi saya harap pemain muda sekarang boleh kabulkan impiannya,” kata Noorul.
Pada majlis penyerahan cek khairat itu, rumah Allahyarham Khalid bagaikan hilang seri tanpanya, namun isteri dan anak-anaknya tetap cuba membangkitkan suasana ceria di bulan syawal ini.
Khalid menghidap kanser paru-paru selama hampir setahun, meninggal dunia pada 6 Februari lalu.
Allahyarham pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.