LANGKAH bijak menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, meletakkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di tahap yang stabil tanpa kebimbangan terhadap kedudukan kewangan bagi membantu, membela nasib bekas atlet kebangsaan.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, dengan keprihatinan kerajaan menyediakan dana RM5 juta pada pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu, beliau yakin badan yang menjaga kebajikan bekas atlet kebangsaan tidak akan berdepan masalah memperjuang nasib ahlinya untuk beberapa tahun akan datang.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menjamin pihaknya akan sentiasa memantau kebajikan ahlinya.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) rekomen kita peruntukan RM5 juta (Bajet 2024), saya rasa ianya cukup untuk kita membela nasib bekas atlet untuk tempoh dua hingga tiga tahun ke depan kerana belanja kita tidak tinggi.

“Hanya membabitkan perbelanjaan untuk kesihatan bekas atlet kebangsaan dan juga bantuan perkakasan.

“Ini berikutan kita juga menjalin kerjasama bersama pihak luar dan program kita juga mendapat penajaan syarikat swasta,” kata Noorul, ketika ditemui.

Datuk Noorul, YB Adam Adli, Datuk Maleek melawat Khalid Ali di kediamannya

Tambahnya, Yakeb telah melaksanakan 32 program sepanjang 2023 dengan kerjasama pelbagai pihak.

Selain menanggung kos perubatan bekas atlet kebangsaan yang menjadi ahlinya, kerjasama dengan pihak swasta termasuk pusat perubatan seperti Thompson banyak membantu, menanggung kos pemeriksaan kesihatan (diagnosis) bekas atlet kebangsaan sebelum mendapatkan rawatan penuh di hospital milik kerajaan.

Tidak hanya memberi bantuan dari segi menanggung kos kesihatan, Yakeb dengan kerjasama pihak swasta turut membuka peluang pekerjaan kepada ahli malah ahli keluarga ahlinya juga mendapat manfaat.

ARTIKEL BERKAITAN : Bekas atlet ternama dipelawa sertai Yakeb