YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) memperkasa usaha menambah keahlian dengan menyasarkan kemasukan ramai atlet sukan para.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya mahu memastikan Yakeb mencapai keahlian 4,000 orang ahli, hingga akhir tahun ini.
“Sekarang kita mempunyai 3,069 ahli dan tahun ini, kami sasarkan mendapatkan 4,000 ahli dan tumpuan kita kepada atlet para, kerana setakat ini, hanya 185 atlet para mendaftar sebagai ahli.
“Saya rasa masih ada ruang untuk kita tambah keahlian yang terdiri daripada atlet para,” kata Noorul, sambil mengesahkan pihaknya berjaya mendapat keahlian baharu tahun ini, seramai 100 orang.
Menurutnya, program turun padang yang dilaksanakan tahun lalu, ke negeri-negeri akan dipergiatkan.
“Kita akan melaksanakan lebih banyak program turun padang, menggiatkan kempen melalui laman media sosial kita,” katanya.
Selain menambah keahlian, Noorul berkata, Yakeb turut menggiatkan kerjasama pintar dengan lebih banyak syarikat korporat dan terkini, mereka berjaya menjalin kerjasama dengan Prolintas, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan lain-lain.
Antara jalinan kerjasama yang pernah diusahakan Yakeb termasuk Genting Malaysia, DPMUM dan banyak lagi.