TERJUNAN perak dihasilkan gandingan Ng Yan Yee-Nur Dhabitah Sabri di Pusat Akuatik Olimpik Hangzhou, menjadi momento terbaik buat Yan Yee yang menjadikan Sukan Asia ke-19 sebagai temasya sebenua terakhir buatnya.
Menurut Yan Yee, segala kerja keras dan jatuh bangun dilalui penerjun berusia 30 tahun itu bersama Dhabitah, 24, berakhir dengan baik dan menjadi penanda aras kepada gandingan baharu Dhabitah selepas ini.
“Bersyukur sangat dengan pencapaian ini kerana Dhabitah banyak acara selain kami datang ke sini tanpa latihan yang cukup untuk terjun seirama namun tetap meraih pingaat perak.
“Saya rasa pencapaian ini cukup bagus kerana ini penyertaan terakhir saya di Sukan Asia, pada temasya Sukan Asia akan datang, saya tidak lagi berada di sebelah dia (Dhabitah).
Jadi, saya berharap sesiapa yang akan bergandingan dengan Dhabitah selepas ini, berkerja keras untuk mencapai apa yang kami dapat ini,” kata Yan Yee.
Gandingan itu meraih pingat perak acara 3 meter (m) papan anjal seirama, selepas mengumpul 270.27 mata, di belakang penerjun China, Chen Yiwen-Chang Yani yang merangkul emas (335.73) manakala Park Hareum-Kim Suji dari Korea Selatan memenangi gangsa (253.56).
Yan Yee mengambil bahagian dalam empat temasya sebenua dan memenangi pingat perak di setiap temasya, bermula tahun 2010 di Guangzhou ketika bergandingan bersama Datuk Leong Mun Yee, 2014 di Incheon, (Cheong Jun Hoong), 2018 (Jakarta-Palembang) dan 2022 (Hangzhou) bersama Dhabitah.
Sementara itu, Dhabitah menyifatkan Yan Yee sebagai gandingan acara 3m seirama paling serasi dengan dirinya, sehingga ke hari ini.