“TIADA alasan untuk tidak mampu menjadi seperti Pearly Tan-M.Tinaah, mungkin memerlukan sedikit masa untuk sampai ke tahap itu.” Demikian menurut pemain beregu wanita negara Yap Ling, yang bergandingan dengan Goh Pei Kee.
Yap Ling-Pei Kee kini berada di ranking ke -154 dunia, jauh ditinggalkan Pearly dan Tinaah meskipun mereka sebaya.
“Saya tengok mereka (Pearly dan Tinaah) banyak peningkatan baik dari segi mental dan fizilkal.
“Kalau dulu, mereka tidak bermaya dan tidak dapat bermain baik di set ketiga, sekarang sangat banyak berbeza,” kata Yap Ling, teruja menceritakan prestasi rakan sepelatihnya.
Menurutnya, menjalani latihan bersama, dilatih jurulatih yang sama malah dia dan Pearly juga sama umur, sekali gus terpahat dalam kepalanya yang dia juga mampu mendapat keputusan yang rakannya itu peroleh ketika ini.
“Dalam latihan, Pearly dan Tinaah selalu gesa kami untuk push lebih lagi, supaya berada di tahap yang sama dengan mereka, cuma saya rasa akan ambil sedikit masa untuk sampai ke tahap itu.
“Sama juga dengan pencapaian beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara dunia. Tidak mudah kerana saya sendiri melihat mereka berkerja keras, memaksa diri dalam latihan,” tambahnya, yang kagum dengan pencapaian Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Tinaah.
Justeru itu, Yap Ling berasakan Pearly-Tinaah ada ramuan untuk muncul juara dan dia berharap akan lahir juara dunia wanita dari Malaysia.
Mengenai kejohanan yang akan disertai selepas ini, Yap Ling memberitahu bahawa dia dan pasangannya belum tahu dan menungggu perancangan yang dibuat jurulatih.
Ditanya mengenai kemungkinan akan berlaku rombakan atau pertukaran pasangan, dia berkata, semua terserah kepada jurulatih.
Yap Ling Pei Kee menyertai empat kejohanan di pentas antarabagnsa tahun ini, iaitu Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India; Terbuka Switzerland; Orleans Masters dan Cabaran Antarabangsa Nantes, namun mereka tersingkir di pusingan awal kejohanan.
Untuk rekod, Yap Ling pernah bergandingan dengan Teoh Mei Xing dan dipisahkan tahun lalu ketika berada di ranking ke-68 dunia.