KETUA jurulatih UiTM United, Mohd Yazli Yahya masih berbangga dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak buahnya semalam walaupun kalah 3-0 kepada juara bertahan, Imigresen FC.
Meskipun pasukannya tewas dengan jaringan besar, Yazli masih dapat melihat perkara positif daripada permainan pasukannya.
“Ini adalah perlawanan pertama kami di pentas Liga A1 Semi Pro dan kami berdepan juara bertahan jadi sedikit sebanyak memberi sedikit rasa gugup kepada pemain.
“10 minit yang pertama memang kelihatan pemain saya rasa gugup tetapi selepas itu mereka telah mula bermain seperti apa yang kita latihkan.
“Saya sangat terkejut dengan persembahan mereka kerana mereka mampu bermain dengan corak yang kita selalu main iaitu penguasaan bola, cuma kita masih lagi mencari penyudah yang betul-betul boleh sudahi dengan jaringan,” katanya selepas perlawanan.
Beliau menambah bahawa Liga A1 Semi Pro merupakan pentas yang berbeza berbanding Liga A2 sebelum ini dan setiap kesilapan akan dihukum dengan jaringan.
“Ini adalah pentas yang berbeza, pengalaman mereka (pemain) sangat diperlukan dan sekiranya setiap peluang tidak disudahi dengan jaringan gol, ia akan memberi tekanan kepada pemain,” ujarnya lagi.
Gol Imigresen FC berjaya dijaringkan oleh Hazim Abu Zaid pada minit ke-31 sebelum pemain import Mighty Tigers, Thankgod Michael menjaringkan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-45 manakala kapten pasukan, Nasriq Baharom menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-56.
UiTM United akan bertemu naib juara liga musim lalu, Kuala Lumpur Rovers FC untuk aksi minggu perlawanan kedua pada 8 Jun di Stadium UiTM, Shah Alam.