PEMAIN dan pengurusan Perak FC mungkin dapat menghela nafas ‘lega’ buat seketika menjelang kemunculan Hari Raya pada 3 Mei ini.

Selepas tertekan dan dihimpit isu tunggakan gaji yang meresahkan Perak FC selama hampir enam bulan, pihak kerajaan negeri itu tampil menghulurkan sumbangan.

Memetik Facebook Perak Football Club pada Rabu, kelihatan beberapa keping foto yang dimuatnaik pentadbir laman itu memaparkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama dengan skuad The Bos Gaurus di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ipoh.

“Terima Kasih YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad memberikan sumbangan untuk meringankan beban kami dalam menghadapi Aidilfitri.

“Hakikatnya, pemain serta pengurusan memahami keadaan sebenar dan Dato Seri sentiasa membantu kami,” tulis hantaran itu.

Sementara itu, penyokong Perak FC memberikan tanda gembira kerana sumbangan itu dilihat sekurang-kurangnya meringankan beban ditanggung para pemain.

Khairul Anuar Zamburi berkata : “Alhamdulillah.. Harap MB gunakan kuasa yg ada utk bantu perak fc berterusan walau dah swasta.. Ada caranya utk bantu.. Tgk Sabah, Selangor, Trgnu, Kedah, Pahang, N9 walau dah swasta tp kerajaan negeri tetap bantu melalui glc atau syarikat² besar dinegeri tersebut..”

Sementara itu, Habib Ali Izzati membuat hantaran : “Alhamdulillah… Semoga dpat meringankan bebanan dan mengukir senyuman dlam kalangan pemain,kejurulatihan dan keluarga….”