DUA perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh perlu diasah kekuatan masing-masing bagi memastikan mampu menyaingi kehebatan pemain utama dunia.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, dua pemain terbabit memiliki kelebihan yang cukup istimewa, namun sering gagal mara jauh dalam kejohanan yang disertai.

“Saya sedang melatih mereka untuk mendapatkan pergerakan kaki yang betul selain pukulan. Ini adalah dua perkara yang saya sedang fokuskan.

“Yang lain (kemahiran) sudah bagus, tetapi untuk bermain dalam kejohanan peringkat tertinggi, perlu ada sesuatu yang istimewa. Setiap pemain kita boleh nampak dalam kelompok 10 terbaik dunia, mereka semua ada sesuatu yang istimewa dalam permainan mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

K Yogendran kini ditukar tugasan dari perseorangan wanita kepada melatih perseorangan lelaki elit negara. 

Katanya, Jun Hao memiliki kekuatan dari segi corak permainan menyerang dan semangat juang tinggi dalam dirinya tetapi dalam beberapa kejohanan terakhir ini, dia tidak memanfaatkan kelebihan dimilikinya itu.

“Jun Hao… kita sudah nampak sebelum ini dia boleh kejutkan pemain seperti Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia), dia sebenarnya tahu apa yang dia perlu lakukan untuk menang ke atas pemain utama.

“Tetapi baru-baru ini dalam kejohanan di Eropah, dia tidak beraksi pada terbaiknya. Ini kerana dia tidak pegang kekuatannya, dia hanya fokus berlatih memperbaiki kekurangannya.

“Apabila tiba di kejohanan, dia tidak dapat keluarkan kekuatan dia untuk menang ke atas lawan.

“Dia bermain dengan kelemahan dia yang menjadi kekuatan pihak lawan,” jelasnya.

Dalam dua kejohanan di Eropah, awal bulan ini – Terbuka Artik di Finland dan Terbuka Denmark – Jun Hao tersingkir di pusingan pertama.

Justin Hoh mempamerkan peningkatan, namun tidak konsisten.

Sementara itu, mengulas mengenai Justin, Yogendran menyifatkan pemain itu yang kini menghuni ranking ke-47 dunia memiliki ciri-ciri pemain yang mempunyai mentaliti kuat.

“Daripada skuad remaja dia masuk senior, dalam tempoh enam bulan sahaja dia sudah berada dalam kelompok 50 terbaik dunia sebelum dia mengalami kecederaan dan berehat panjang.

“Namun, selepas kembali beraksi dia sudah kembali dalam 50 terbaik sekarang. Itu membuktikan dia ada mentaliti yang kuat.

“Kekuatan fizikal dia juga memang sesuai untuk usia dia (20 tahun). Tetapi jika kita mahu dia terus bebas daripada kecederaan dan masuk dalam 20 terbaik dunia, dia kena jadi matang dalam gelanggang dan perlu perbaiki pergerakan kakinya.

“Dia kena tahu bagaimana mahu jimat tenaga untuk kekal daripada pusingan pertama hingga final,” katanya.

Jun Hao ada dua lagi baki kejohanan musim apabila dia beraksi dalam saingan Masters Kumamoto di Jepun (12 hingga 17 November) dan Masters China 19 hingga 24 November).

Justin pula akan menyertai Masters Korea (5 hingga 10 November) diikuti Masters Kumamoto dan Antarabangsa Syed Modi di India (26 November hingga 1 Disember).