PENGENDALI skuad hoki remaja, Muhammad Amin Rahim menegaskan bahawa kekalahan di Piala Sultan Johor lalu tidak akan diulangi ketika menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang bermula pada 5 hingga 16 Disember 2023.
Malaysia yang menjadi tuan rumah buat aksi kejohanan tersebut sepatutnya menjadi satu kelebihan buat skuad Young Tigers membuktikan perlawanan yang lebih kemas dan mantap kepada pihak lawan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil nanti.
Menurut Amin, ketika ini segala persiapan dari segi fizikal, mental dan juga hoki sendiri sudah dilakukan dan diperbaiki namun kerjasama daripada pihak pemain merupakan titik terakhir yang penting untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
“Penalti corner merupakan satu peluang yang terbaik untuk kita dan sebelum ini ketika di Piala Sultan Johor, pasukan tidak dapat melaksanakannya dengan cemerlang.
“Jadi kita telah memperkemas semula di bahagian itu dan apabila tiba waktunya nanti, masa untuk skuad remaja ini pula menterjemah segala yang telah dipelajari di atas padang.
“Saya yakin jika kita terus berfikiran positif, yakin Malaysia boleh, saya rasa tak mustahil kita dapat lakukan satu keajaiban di Piala Dunia Remaja nanti,” ujarnya dalam sesi temubual bersama radio Hot FM.
Sementara itu, pemain hoki remaja, Azmil Muizzuddin Misron pula akui kelemahan yang ada dalam diri setiap pemain itu lahir daripada sikap kurang keyakinan untuk berdepan dengan pasukan gergasi dari negara luar.
Tetapi bagi Azmil, sebagai darah pahlawan dia akan cuba untuk menepis segala pemikiran negatif untuk berdepan dengan tiga kelab antarabangsa iaitu Argentina, Australia dan Chile sejurus berlawan dengan hati yang kering.