SKUAD remaja wanita terlepas slot untuk beraksi ke Piala Dunia Remaja di Chile, hujung tahun ini, apabila gagal melayakkan diri ke separuh akhir Piala Remaja Asia (W) di Kakamigahara, Jepun.

Kekalahan 3-1 kepada Korea Selatan, menyaksikan skuad bimbingan Lailin Abu Hassan menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga, di belakang India dan Korea Selatan.

Pada perlawanan itu, Korea Selatan memperoleh gol menerusi An Sujin pada minit keempat, Song Sungeun (m38) dan Lee Yujin (m48) manakala gol tunggal Young Tigress, dijaringkan Norshafiqha Ishak pada minit ke-38.

“Mereka sudah menunjukkan kesungguhan tinggi walaupun tewas. Korea Selatan memberi tekanan dari awal dengan menyerang kubu pertahanan kita, namun mereka berjaya menjaringkan gol Ketika pemain pertahanan leka,” kata Lailin.

Justeru, skuad negara hanya akan beraksi pada perlawanan klasifikasi penentuan tempat kelima hingga lapan, esok, menentang Hong Kong, yang menghuni tangga keempat kumpulan B.

“Esok kita akan berdepan Hong Kong untuk memastikan layak ke penentuan tempat kelima atau enam. Oleh itu persiapan tetap dilakukan kerana tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan lawan,” katanya.

Sebelum ini, skuad negara membelasah Taiwan 7-0, dan Uzbekistan 12-0 selain tewas 2-1 di tangan India.

Namun skuad negara wajib menang ke atas Korea Selatan, selepas pasukan itu terikat 1-1 dengan India, dan berkongsi tujuh mata dan kedua-dua pasukan itu tidak tewas di peringkat kumpulan.