TONGGAK pertahanan Kuching City FC, Yuki Tanigawa menegaskan kegigihan pasukan dalam memberi keputusan terbaik pada setiap aksi perlawanan masih membuak-buak, bahkan ingin melihat The Cats tidak bolos pada saingan malam ini di Stadium Perak.

Namun begitu, pemain kelahiran Jepun itu tidak menafikan cabaran yang akan dilalui terutama beraksi di gelanggang lawan.

Tetapi, dengan menyaksikan mentaliti dan prestasi baik oleh pasukannya ketika ini, ia memberi kepercayaan tinggi buat Yuki dalam misi memburu tiga mata pada malam ini.

Yuki Tanigawa, pemain pertahanan Kuching City FC.

Jelas Yuki kepada FLASH SUKAN, perlawanan malam ini dianggap sebagai satu aksi yang cukup getir, kerana Kuching City mempunyai perbezaan satu mata bersama Perak FC di carta Liga Super.

“Pemenang perlawanan ini akan terus naik dalam kedudukan liga dan itu sangat penting bagi kami untuk mencari tiga mata. Perak berkelebihan bermain di tempat sendiri, tetapi kami akan berikan yang terbaik.

“Sudah tentu juga menjaring gol penting untuk menang, tetapi sebagai pertahanan, penting juga untuk tidak bolos. Jika kami dapat kekalkan ‘clean sheet‘, sekurang-kurangnya kami tidak akan kalah.

Kuching City kini berada di kedudukan ketujuh Liga Super.

“Kami percaya boleh melakukannya dan kami datang ke sini (Perak) dalam misi lengkap untuk memburu tiga mata dan tidak bolos,” ujar Yuki ketika ditanya oleh FLASH SUKAN.

Yuki Tanigawa salah seorang penjaring Liga Super iaitu pada aksi sengit Kuching City dan Terengganu FC yang berlangsung Jun lalu, sekali gus membawa keputusan seri 1-1.

Kepercayaan Yuki untuk melihat pasukannya memenangi perlawanan malam ini amat tinggi, dan tidak mustahil untuk Kuching City mematahkan harapan Perak untuk menang di halaman sendiri pada saingan malam ini (Selasa).