SKUAD PDRM FC dengan rasminya telah menjulang piala MFL Challenge Cup 2023 selepas menumpaskan Kuching City FC 4-1 secara agregat di Stadium Likas, Sarawak pada Ahad.

Walau bagaimanapun, pengendali PDRM FC, Datuk Ahmad Yunus Alif menyatakan bahawa kedudukan mereka pada babak pertama agak tergugat kerana jaringan pembukaan telah diperoleh Kuching City.

Namun, pada separuh masa kedua skuad bimbingannya dinasihatkan agar terus bangkit dan dongak ke hadapan untuk melalui setiap rintangan dengan meminggirkan setiap tekanan yang diberi.

“Saya beritahu mereka jika mereka beraksi dalam keadaan tertekan, mereka tidak boleh capai apa-apa. Jadi tibanya babak kedua, mereka berjaya mengembalikan satu gol buat PDRM dan ianya melemahkan lagi prestasi Kuching City pada saat itu.

“Dalam pencapaian ini, tidak dilupakan coach Eddy lah yang banyak membantu skuad dan matlamat sebenar untuk mendapatkan 31 mata dalam Liga Super sudah berjaya dicapai malah lebih dari itu.

“Walau bagaimanapun, berbaki dua perlawanan Liga Super ini jikalau ada peluang untuk membawa dua atau tiga orang pemain muda baru, maka kita akan cuba untuk beri pendedahan dan peluang kepada mereka,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC iaitu Aidil Sharin Sahak tidak menuding jari terhadap mana-mana pemain yang melakukan kesilapan pada malam perlawanan tersebut.

Satu jaringan daripada pemainnya, Petrus Shitembi yang dapat membolosi gawang gol PDRM itu sudah cukup bermakna juga bagi beliau kerana mereka sudah berada di pentas akhir perlawanan.

“Dalam final ini juga saya boleh melihat perkara yang perlu saya tambah baik untuk musim hadapan.

“Usaha ini tidaklah terhenti sampai sini sahaja, kita akan terus bersemangat untuk perlawanan-perlawanan akan datang dan keputusan yang agak positif ini tidak mematahkan semangat pasukan,” katanya.