KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah bangga dengan persembahan dan karakter serta disiplin yang ditunjukkan para pemainnya meskipun tewas 1-0 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super terakhir di laman sendiri pada Ahad.

Gol tunggal Park Tae-su pada minit ke-85 meranapkan impian Perak FC untuk sekurang-kurangnya memberikan satu mata buat hampir 3,000 penyokong tuan rumah yang hadir ke Stadium Perak dan Yusri mahu sokongan ini diteruskan pada musim hadapan.

“Apa boleh saya katakan persembahan cukup membanggakan dan berdisiplin cuma ‘lack of focus’ pada minit terakhir dan kami dihukum. Kami cuba beri saingan dan hampir jaringkan gol tetapi perlu akur kekuatan lawan tetapi meskipun tewas mereka tampilkan karakter yang cukup baik.

“Amat sukar untuk kita berikan motivasi kerana lawan kita tahap lebih jauh dan itu yang sebabkan kita perlu akur dan kekalkan motivasi pemain muda untuk hadapi tiga perlawanan terakhir yang cukup sukar tetapi sekiranya kita kekalkan tahap permainan seperti ini kita sukar untuk ditumbangkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bercakap mengenai musim hadapan, Yusri mengharapkan seorang penyerang yang berbisa dan mahu meneliti kontrak setiap pemain untuk membentuk skuad yang lebih mantap dan baharu untuk lebih berdaya saing dalam Liga Super.

“Untuk musim hadapan, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan seperti kontrak pemain dan pemain yang tidak digunakan apa yang perlu dilakukan. Kami perlukan sorang penyerang yang bagus yang mampu berikan kegusaran pada lawan tetapi bergantung pada kewangan pasukan.

“Kepada penyokong, kami faham mereka menantikan musim baharu dan begitu juga Perak kami mahu bersaing dengan lebih baik dan akan membawa pemain yang lebih baik dan nanti kejutan yang mungkin berlaku serta teruskan sokongan kepada pasukan ini,” jelasnya.

Perak bakal mengakhiri saingan Liga Super di tangga ke-10 atau ke-11bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir namun ianya satu pencapaian yang cukup membanggakan dari pemain muda Perak yang menampilkan satu aksi mantap sepanjang musim ini.